Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

KelasMateMatika@CC sudah beri kesan positif

Keluarga-keluarga yang mengikuti program matematik di bawah kerjasama MENDAKI, MUIS dan MESRA, M³ sudah menyaksikan anjakan minda positif dalam kalangan anak-anak terhadap subjek yang dianggap "sukar" itu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Keluarga-keluarga yang mengikuti program matematik di bawah kerjasama MENDAKI, MUIS dan MESRA, M³ sudah menyaksikan anjakan minda positif dalam kalangan anak-anak terhadap subjek yang dianggap "sukar" itu.

KelasMateMatika@CC (KMM) adalah inisiatif pertama di bawah pelan bertindak M³.

Tujuannya untuk mendekati lebih ramai kanak-kanak prasekolah dan ibu bapa bergaji rendah agar dapat menyediakan sekitaran rumah sesuai bagi membangun kemahiran anak dalam matematik.

BUKAN TENTANG JAWAPAN BETUL ATAU SALAH TETAPI TEKNIK PENGAJARANNYA

Mendapat jawapan yang betul bagi soalan-soalan Matematik bukanlah suatu masalah bagi Cik Ferhana Omar Ashiblie setiap kali memantau kerja sekolah dua orang anaknya, berusia tujuh dan lima tahun.

Cik Ferhana Omar Ashiblie bersama dua orang anaknya dibantu pengajar menyelesaikan latihan kelas semasa program KMM.

Yang mencabar baginya adalah untuk menggunakan kaedah betul selaras dengan sukatan pendidikan di sekolah kini.

Mujur, selepas menyertai program KelasMateMatika@CC (KMM@CC), Cik Ferhana kini lebih yakin dapat membantu anaknya dengan berkesan.

Selain melengkapi kanak-kanak prasekolah dengan konsep asas Matematik, program 10 minggu ini turut menyertakan ibu bapa dalam kelas berasingan demi memperkasa mereka dengan kemahiran mengajar subjek tersebut.

Konsep menarik yang menggalak pembelajaran seisi keluarga itu mendorong Cik Ferhana untuk mendaftarkan beliau anak-beranak.

Setelah dua minggu mengikuti KMM@Pasir Ris East, beliau lega sekitaran pembelajaran di rumah menunjukkan kemajuan lebih positif.

"Harapan saya adalah untuk mereka lebih gemar atau ada minat hendak belajar Matematik daripada takut. Juga pada saya, sebagai seorang ibu, saya dapat pelajari apa yang mereka belajar di sekolah dan saya dapat ajar mereka di rumah nanti," ujar Cik Ferhana.

ANAK-ANAK LEBIH SERONOK BELAJAR MATEMATIK, DORONG IBU BAPA DIDIK LEBIH BAIK

Cik Ferhana dan dua anaknya adalah di antara 15 keluarga program KMM@Pasir Ris East yang berkongsi manfaat program itu bersama Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, merangkap Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamed serta Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Zainal Sapari.

Encik Masagos Zulkifli dengan para peserta.

Program KMM di Kelab Masyarakat Pasir Ris East ini bermula sejak 30 September lalu bagi keluarga bergaji rendah yang mempunyai anak berusia empat hingga enam tahun.

"Mereka sangat suka kelas ini dan saya pun sangat suka. Kira, dua-dua ada belajar dalam satu masa. Anak-anak saya bila mereka balik, mereka akan beritahu saya apa yang mereka belajar. Akan datang, saya akan gunakan teknik-teknik yang terbaru yang diajar kepada saya," kongsi Cik Nur Fariza Abdul Jamal, seorang lagi peserta program KMM@Pasis Ris East.

43 KELUARGA IKUTI KMM@CC NEE SOON CENTRAL, MARSILING & PASIR RIS EAST

KMM merupakan peningkatan dari program Maju Minda Matematika (Tiga M) yang dikelolakan Yayasan MENDAKI khusus bagi kanak-kanak prasekolah.

Dengan kerjasama M³, ia lebih mudah diakses dan memberi manfaat kepada lebih ramai kanak-kanak tadika. KMM@CC memanfaatkan rangkaian sukarelawan MAEC(Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu) dan masjid untuk mendekati keluarga dan kanak-kanak memerlukan manakala pelibatan CC dan RC (Jawatankuasa Penduduk) dapat meluaskan lagi program ini dengan lebih cepat.

Program KMM terbahagi kepada dua modul. Bagi enam minggu pertama, para keluarga peserta akan mengikuti modul pertama program 3M oleh MENDAKI. Ini disusuli dengan modul kedua di bawah PA selama empat minggu yang terdiri daripada kursus-kursus untuk mengeratkan hubungan keluarga seperti sukan, seni persembahan dan kemahiran hidup.

28 lagi keluarga mengikuti sesi KMM di kelab-kelab masyarakat Marsiling dan Nee Soon Central.

Empat CC lain - Admiralty, Boon Lay, Keat Hong dan Woodlands akan mula menawarkan program itu tahun depan.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan