Images
  • coding
    Kelas-kelas pengayaan 'Code for Fun' akan dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA). (Gambar hiasan: TODAY/Raymond Limantara)

Kelas pengekodan diwajibkan bagi semua murid darjah 4 hingga 6 mulai tahun depan

SINGAPURA: Semua murid darjah empat hingga enam akan diwajibkan menyertai kelas-kelas pengayaan kemahiran pengekodan mulai tahun depan. Demikian diumumkan oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran pada Rabu (10 Julai).

Program selama 10 jam, yang diberi nama 'Code for Fun', akan dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Program itu akan mula dijalankan di sebilangan sekolah pada lewat tahun ini bagi murid-murid darjah enam yang selesai menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) sebelum program itu dilancarkan di kesemua sekolah rendah pada tahun depan.

IMDA menyatakan program 'Code for Fun', antara lain, akan mengajar murid-murid tentang pemikiran pengiraan, konsep-konsep pengekodan dan pembelajaran berasaskan masalah.

Murid-murid juga akan diperkenalkan kepada teknologi-teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI), menurut IMDA.

Di peringkat sekolah menengah, program itu akan dikekalkan sebagai pilihan untuk melengkapi usaha-usaha pendidikan komputer sedia ada, termasuk Program-Program Pembelajaran Gunaan dan subjek-subjek pengkomputeran di peringkat GCE O dan A.

Program 'Code for Fun' adalah antara program-program baru yang diumumkan Encik Iswaran semasa Seminar Pelan Kerja MCI pada Rabu, di mana beliau menggariskan beberapa langkah yang dilaksanakan kementeriannya untuk membantu rakyat Singapura mengharungi perubahan digital.

IBU BAPA, PENDIDIK ALU-ALUKAN KELAS PENGEKODAN

Sesetengah ibu bapa yang ditemui Mediacorp berkata mereka menanti-nantikan pelancaran program 'Code for Fun'.

Seorang ibu, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Gan berkata: "Anak lelaki saya sebenarnya melahirkan minat untuk mengekod dan saya sudah meninjau kursus-kursus musim cuti sekolah untuk disertainya. Ia tepat pada masanya memandangkan sekarang saya tidak perlu menghantarnya ke kelas-kelas di luar kerana sudah ada kelas-kelas pengayaan di sekolah."

Cik Gan yang bekerja dalam industri kewangan menambah kursus-kursus pengekodan tidak murah dan lantaran itu program berkenaan boleh memanfaatkan kanak-kanak dari keluarga-keluarga berpendapatan rendah.

Para pakar pendidikan yang ditemui Mediacorp mengalu-alukan langkah itu kerana kemahiran mengekod membekalkan murid-murid dengan kemahiran menyelesaikan masalah, menjangkaui kemahiran menulis kod semata-mata.

Profesor Madya Hady Lauw dari Sekolah Sistem Maklumat Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata, menerusi pengekodan, para pelajar boleh meraih kemahiran menyelesaikan masalah, belajar bagaimana untuk berfikir dan menghasilkan huraian yang lojik dan menyeluruh.

Profesor Madya Ben Leong dari Sekolah Pengkomputeran Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata kemahiran mengekod akan membangunkan daya kreatif seseorang pelajar dan kemahiran menyelesaikan masalah.

"Ia mustahil untuk belajar mengekod mengikut kaedah menghafaz, ia akan memaksa para pelajar untuk 'belajar bagaimana untuk belajar'," kata Profesor Leong.

Profesor Leong berkata ini akan menangani salah satu cabaran yang membelenggu sistem pendidikan tempatan, iaitu kecenderungan dalam kalangan pelajar untuk belajar dengan menghafaz sebagai jalan mudah untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

USAHA PERUBAHAN DIGITAL LAIN

* MENEROKA PILIHAN KERJAYA KESELAMATAN SIBER

IMDA juga merancang untuk menyediakan peluang kepada sekitar 10,000 belia untuk meneroka industri keselamatan siber sebagai kerjaya, dan juga mendapat pendedahan kepada pengetahuan teknikal dan kemahiran insani yang relevan. Ini akan dilaksanakan menerusi Program Belia Siber Singapura.

* MENINGKATKAN KESELAMATAN SIBER

IMDA juga sedang menubuhkan pasukan Pakar Keselamatan Siber Telekom dalam jangka beberapa bulan akan datang untuk mengukuhkan kepercayaan dan daya bingkas ekosistem telekom di Singapura. Pasukan itu akan menjalankan penilaian terhadap tahap keselamatan siber, latihan-latihan siber dan menguji teknologi baru. Sebagai permulaan, pasukan itu akan menumpukan usaha kepada 5G, iaitu rangkaian teknologi generasi kelima berkelajuan amat tinggi.

* USAHA MEMBANTU WARGA EMAS

Untuk membantu warga emas dalam keperluan dan pertanyaan digital mereka, IMDA akan menambah lagi 100 Klinik Digital Generasi Merdeka di samping Klinik-Klinik Digital sedia ada, yang bertujuan membantu para Generasi Merdeka di merata negara dalam jangka setahun, mulai September 2019, untuk memanfaatkan 10,000 warga emas.

Klinik-klinik itu akan menyediakan warga emas dengan kemahiran digital asas dan mendidik mereka tentang cara-cara untuk melindungi diri mereka daripada risiko-risiko online.

- TODAY/ZM/zm

Top