Images
  • club heal

Kelab HEAL di Bukit Batok pindah ke premis lebih besar; mulakan Program Kesejahteraan Demensia


SINGAPURA: Masyarakat perlu bersikap "lebih terbuka" dan memanfaatkan peluang untuk memperbaiki dan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental.

Demikian menurut Penasihat akar umbi GRC Jurong Cik Rahayu Mahzam semasa merasmikan majlis pembukaan pusat Club Heal di 254 Bukit Batok East Avenue 4 siang tadi (2 Jul).

Sebuah buku motivasi bertajuk "Dari Kambuh ke Sembuh" turut dilancarkan di akhir majlis pembukaan itu.

PREMIS LEBIH BESAR; LUASKAN SKOP BANTUAN KESIHATAN MENTAL

Selepas genap tujuh tahun menjalankan khidmat bantuan bagi klien-klien kesihatan mental di premis lamanya, Club Heal kini "berpindah" pula ke premis yang lebih besar.

Jika pada tahun-tahun sebelumnya, para kakitangan Club Heal serta klien mereka menjalankan khidmat kaunseling, pemulihan dan pentadbiran di satu ruang yang kecil, mereka kini dapat menikmati ruang yang lebih besar serta ruang khusus bagi setiap khidmat.

Mentelah lagi, ruang yang lebih besar bagi pusat itu bermaksud mereka antaranya dapat melancarkan program-program baru bagi klien-klien mereka.

"Dengan adanya premis lebih besar, kita boleh tambahkan lagi satu program, di Kelab HEAL, iaitu, Program Kegiatan Siang, iaitu untuk warga senja. Singapura ini mempunyai penduduk yang semakin menua, dan kita kalau boleh, hendak membantu mereka yang berisiko, yang boleh mendapat penyakit demensia. Jadi program ini kita namakan 'Program Kesejahteraan Dimensia'," kongsi Presiden Kelab HEAL, Dr Radiah Salim.

"Dengan cawangan baru ini, kita luarkan skop bantuan kita kepada warga senja yang berisiko mendapat masalah kesihatan mental dan warga senja yang mempunyai dimensia di tahap awal."

KLIEN BOLEH BERTAMBAH 30 PERATUS

Selain melancarkan program-program baru, Kelab HEAL juga dapat meluaskan saiz sesi latihannya setiap hari.

Jika dahulunya, hanya 15 klien yang dapat dimuatkan dalam satu sesi latihan, mereka kini dapat meluaskan saiz itu kepada lebih 20 klien.

Dengan pembukaan premis Kelab HEAL yang lebih besar, Cik Rahayu Mahzam merasakan bahawa ia menjadi landasan yang baik, terutama sekali bagi mereka yang menghadapi isu kesihatan mental sewaktu krisis COVID-19.

Menurut beliau, krisis COVID-19 menimbulkan lebih banyak isu tentang keprihatinan isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

"Jadi saya gembira sekali kerana ada usaha dan adanya ruang baru di kawasan saya ini untuk membantu penduduk dan juga mereka yang tinggal berdekatan untuk dapatkan bantuan. Jadi saya rasa, harus sentiasa menggunakan peluang ini untuk memberitahu orang ramai tentang adanya unsur-unsur bantuan dalam kalangan masyarakat," kata Cik Rahayu lagi.

HAPUSKAN STIGMA KESIHATAN MENTAL

Cik Rahayu menegaskan bahawa stigma tentang kesihatan mental "masih lagi wujud" walaupun usaha untuk menghapuskannya sudah dijalankan selama bertahun-bertahun.

"Saya rasa masih lagi ada peluang untuk kita perbaiki dan tingkatkan kesedaran kerana ianya, penyakit mental ini seperti penyakit biasa kalau kita mahu baik kita perlu dapatkan bantuan dan rujukan," kata beliau.

"Sekiranya tidak ada kesedaran tentang isu ini orang akan takut ke hadapan, orang akan takut dapatkan bantuan kerana adanya kesan-kesan sampingan apabila mereka ke hadapan."

Pembukaan pusat Kelab HEAL yang lebih besar itu, menurut beliau agak simbolik kerana dengan adanya badan-badan sepertinya, kesedaran masyarakat juga dapat dipertingkatkan.

"Kita sebagai masyarakat perlu lebih terbuka dan cuba memahami apa yang perlu dilakukan sekiranya ada orang yang kita kenal menghadapi masalah kesihatan mental," jelas Cik Rahayu.

BUKU DARI KAMBUH KE SEMBUH

Di samping merasmikan pembukaan pusat Kelab HEAL, Cik Rahayu Mahzam juga melancarkan buku berjudul 'Dari Kambuh ke Sembuh' yang diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Buku itu asalnya bertajuk 'From Relapse to Redeemed' hasil tulisan Encik Ram Dubey.

Buku setebal 202 muka surat itu antaranya menekankan peri perlunya menghapuskan stigma ketagihan dadah serta cara-cara menangani ketagihan dadah.

Dr Radiah berkata buku itu menunjukkan kaedah yang berkesan untuk membantu mereka yang mempunyai masalah ketagihan menerusi HOPE, iaitu H - 'Honesty' (kejujuran); O - 'Openness' (keterbukaan); P - 'Positivity' (bersikap positif); E - 'Endurance' (daya ketahanan)"

Buku tersebut turut mengemukakan kisah-kisah mereka yang menghadapi cabaran penagihan dadah dan berjaya mengatasinya.

Encik Ramli Abdullah, 48 tahun, yang menjadi antara profil di dalam buku tersebut turut hadir bagi acara pelancaran buku itu. Beliau terjebak dengan dadah semuda usia 12 tahun dan merupakan ketua kumpulan samseng menghadapi banyak masalah dalam kehidupannya selepas itu.

Beliau melahirkan harapan agar masyarakat sentiasa memberi peluang kepada golongan sepertinya.

"Saya selalu mengharapkan masyarakat agar memberi kami, bekas penagih sokongan, peluang untuk kami berubah. Memberi peluang itu adalah untuk kami buktikan orang-orang seperti kami pun boleh berubah dan boleh mencapai apa yang kita niat di dalam hati," kata beliau.

Sebanyak 1,000 naskhah buku motivasi itu sudah dicetak dan mula dijual secara online dengan harga S$18 senaskhah.
 

- BERITAmediacorp/hk

Top