Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelab dengan mesin judi berkurangan selepas peraturan diperketat

Sejak peraturan bagi kelab dengan mesin judi diperketat pada Julai tahun lalu, jumlah kelab yang kini beroperasi dengan mesin-mesin ini kian berkurangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 May 2018 04:13PM Dikemas Kini : 03 May 2018 10:16PM

SINGAPURA: Sejak peraturan bagi kelab dengan mesin judi diperketat pada Julai tahun lalu, jumlah kelab yang kini beroperasi dengan mesin-mesin ini kian berkurangan.

Ini menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kemas kininya pada Khamis (3 Mei).

Kini 42 kelab beroperasi dengan mesin judi, turun dari 61 pada Oktober tahun lalu, menurut kementerian berkenaan.

Peraturan baru itu, yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun, dijangka mengurangkan sebanyak sepertiga jumlah mesin judi, menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam semasa mengumumkan langkah tersebut.

Selepas peraturan lebih ketat itu diumumkan, tujuh kelab tidak membuat permohonan semula bagi permit apabila permitnya tamat tempoh pada hujung bulan Oktober.

Permit diberikan kepada 46 kelab yang memenuhi kriteria pada bulan Oktober, di mana empat daripadanya sudah menghentikan operasi mesin judi secara sukarela, menurut MHA.

Lapan kelab yang tidak memenuhi kriteria yang disemak tetapi diberi permit sementara selama enam bulan juga sudah menghentikan operasi mesin judi setakat sehingga 30 April, dedah kementerian itu.

Menurut kementerian berkenaan, kini terdapat kurang 1,500 mesin judi di semua kelab privet, turun 20 peratus berbanding lebih 1,800 mesin pada Oktober tahun lalu.

PERATURAN DIPERKETAT LAGI PADA 1 MEI

Langkah-langkah yang dilaksanakan pada November tahun lalu termasuk menyekat kemasukan ke dalam bilik mesin judi di kelab terhadap mereka yang berusia 21 tahun ke atas dengan keanggotaan sekurang-kurangnya setahun, dan menghadkan waktu operasi bagi bilik-bilik tersebut kepada antara 10.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari.

Kemudahan mesin bank, NETS dan kad kredit dilarang dalam bilik mesin judi, serta sebarang iklan atau promosi di luar bilik-bilik tersebut dan di laman web.

Pada 1 Mei, lebih banyak langkah sudahpun dilaksanakan bagi memberi lebih perlindungan kepada individu yang mudah terjejas, dedah MHA.

Individu kini boleh memohon untuk mengecualikan diri daripada semua bilik mesin judi, dan bukan setakat di kelab-kelab tertentu sebagaimana kesnya sebelum ini.

Tambahan itu, individu berkenaan yang diberikan pengecualian relevan oleh Majlis Kebangsaan mengenai Masalah Perjudian akan dikecualikan daripada semua bilik mesin judi. Kelab-kelab kini harus mengesahkan status pengecualian seseorang individu itu bagi khidmat elektronik majlis tersebut sebelum membenarkannya memasuki bilik mesin judi.

"Langkah-langkah terbaru ini akan menambah kepada usaha sebelum ini bagi mengurangkan dan mengawal akses (mesin judi) dan untuk mengukuhkan keselamatan sosial," menurut MHA.

Sumber : CNA/IM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan