Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Kekal waspada' elak lonjakan kes denggi jelang hujung tahun, nasihat NEA

Orang ramai digesa supaya "kekal berwaspada" bagi mencegah peningkatan kes denggi menjelang hujung tahun. 

Anggaran Waktu Membaca:
'Kekal waspada' elak lonjakan kes denggi jelang hujung tahun, nasihat NEA

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 26 Oct 2021 05:33PM Dikemas Kini : 26 Oct 2021 05:35PM

SINGAPURA: Orang ramai digesa supaya "kekal berwaspada" bagi mencegah peningkatan kes denggi menjelang hujung tahun.

Kewaspadaan berterusan diperlukan terutama sedang jumlah nyamuk Aedes aegypti di Singapupra meningkat, tekan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam maklumannya pada Selasa (26 Okt).

Jumlah nyamuk Aedes meningkat 22 peratus pada September tahun ini berbanding bulan lalu dengan jumlah nyamuk terutamanya lebih tinggi di sesetengah bahagian negara, menurut NEA.

Kawasan-kawasan ini termasuk Geylang Bahru, Jalan Berseh, Kelantan Lane, Kelantan Road, Jelapang Road dan Woodlands Street 81.

Lebih 4,500 kes denggi dilaporkan di Singapura sejak awal tahun ini dan kini terdapat 12 kelompok aktif denggi.

Meskipun jumlah mingguan kes denggi baru-baru ini lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, virus itu "kekal satu ancaman kesihatan awam yang serius", menurut agensi tersebut.

Jumlah kes denggi disebabkan oleh jenis virus yang kurang biasa juga sudah meningkat.

Serotip 3 virus denggi (DENV-3) membentuk lebih 50 peratus daripada serotip yang disampelkan sejak Mei lalu, menurut NEA.

Jenis itu juga dikesan di 121 daripada 254 kelompok denggi di mana serotip dikenal pasti tahun ini, termasuk kelompok aktif di Florence Road/Hougang Avenue 2 yang melaporkan 195 kes denggi.

Agensi itu menambah DENV-3 kini menggantikan DENV-2 sebagai serotip dominan di Singapura.

Sebelum 2020, DENV-3 bukan serotip dominan tatkala tercetus mana-mana penularan denggi besar di Singapura sepanjang tiga dekad lalu, menurut NEA.

"Kekebalan penduduk terhadap DENV-3 adalah rendah dan semakin ramai orang mudah terdedah kepada jangkitan serotip ini," tambahnya.

NEA juga menarik perhatian lebih ramai orang sedang duduk di rumah dan bekerja dari rumah, yang akan membawa kepada lebih banyak "peluang gigitan" nyamuk Aedes aegypti pada siang hari, sekali gus berpotensi meningkatkan risiko penularan denggi.

“Jika dibiarkan tanpa diperiksa, jumlah nyamuk Aedes aegypti yang tinggi sekarang ini, ditambah pula dengan perebakan DENV-3 yang tidak biasa sebelum ini serta sebahagian besar orang ramai yang duduk di rumah dan bekerja dari rumah, akan menambah kepada risiko denggi pada hujung tahun ini," menurut NEA.

Agensi itu menggesa orang ramai supaya mengambil langkah-langkah bagi mencegah pembiakan nyamuk. Misalnya, membuang air yang bertakung dengan mengangkat dan mengosongkan alas pasu bunga serta menelungkupkan baldi dan mengelap bahagian tepinya.

NEA sudah menjalankan sekitar 523,000 pemeriksaan bagi habitat pembiakan nyamuk di seluruh negara pada sembilan bulan pertama tahun ini.

Sekitar 14,300 habitat seumpama itu dikesan dan tindakan dikenakan terhadap 5,500 pemilik premis atas pembiakan nyamuk.

NEA menyatakan ia terus menjalankan pemeriksaan bersasar di kawasan-kawasan dengan jumlah nyamuk yang tinggi dan sudah meningkatkan operasi di kelompok-kelompok denggi.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan