Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kejadian banjir baru-baru ini tunjukkan pentingnya rancang tangani perubahan iklim: Grace Fu

Kejadian banjir di Singapura baru-baru ini menunjukkan pentingnya membuat perancangan bagi menangani perubahan iklim. Demikian ditekankan oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu hari ini (19 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Apr 2021 09:11PM Dikemas Kini : 19 Apr 2021 09:33PM

SINGAPURA: Kejadian banjir di Singapura baru-baru ini menunjukkan pentingnya membuat perancangan bagi menangani perubahan iklim.

Demikian ditekankan oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu hari ini (19 Apr).

"Banjir baru-baru ini menunjukkan kesan perubahan iklim di Singapura. Kita menerima hujan yang semakin lebat, salah satu yang paling lebat dalam tempoh 40 tahun," kata Cik Fu.

Ini menunjukkan bahawa penting untuk merancang bagi menangani perubahan iklim dan cara-cara untuk mengurangkan kesannya, tambah beliau, sambil berkata untuk menangani isu itu memerlukan pemahaman tentang "dwicabaran" mengenai banjir dan juga kenaikan paras air laut.

Singapura sudahpun menyaksikan perubahan pada bentuk cuaca dan pada masa akan datang boleh menjangkakan lebih banyak perubahan sedemikian akibat kesan perubahan iklim, kata beliau.

Cik Fu berkata demikian kepada para wartawan selepas melawat tapak kerja di bawah fasa kedua Sistem Kumbahan Terowong Bawah Tanah (DTSS).

Hujan lebat di merata negara pada Sabtu (17 Apr) menyebabkan banjir kilat di banyak kawasan.

PUB mengeluarkan amaran risiko banjir di lebih 20 lokasi termasuk Bukit Timah dan terusan Ulu Pandan serta Sungei Pandan Kechil.

Agensi air kebangsaan itu menyatakan bahawa bahagian barat Singapura mencatatkan jumlah hujan paling tinggi sebanyak 161.4 mm antara 12.25 tengah hari hingga 3.25 petang, atau kira-kira 91 peratus daripada purata hujan bulanan Singapura pada April.

Menurutnya, jumlah itu berada di paras 0.5 peratus tertinggi daripada catatan hujan harian maksimum sejak 1981.

Hujan lebat juga mengakibatkan banjir kilat di beberapa bahagian Singapura bulan lalu.

PUB sudah membelanjakan sekitar S$2 bilion sepanjang sedekad lalu untuk memperbaiki sistem terusan Singapura sebagai sebahagian daripada langkah-langkah pencegahan banjir, dan hampir S$1.4 bilion lagi bagi usaha tersebut selama lima tahun akan datang, kata Cik Fu pada Isnin.

Kini ada 37 projek seperti itu, dengan 10 lagi akan ditambah tahun ini, katanya, sambil menambah bahawa ini menunjukkan tekad Singapura untuk memperbaiki prasarananya dan menjadi lebih berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim.

Prasarana seperti DTSS - yang akan mengumpul dan mengalirkan air dari seluruh Singapura ke tiga loji penambakan air di Changi, Kranji dan Tuas - membantu meningkatkan daya tahan negara dalam hal ini kerana ia akan membolehkan air digunakan semula berkali-kali, kata Cik Fu.

"Jadi pelaburan ini benar-benar dapat membantu kita meningkatkan daya ketahanan infrastruktur air kita," tambahnya.

Sumber : CNA/NK/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan