Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keharmonian, perpaduan di S'pura istimewa, perlu diteruskan golongan belia

Keharmonian dan perpaduan sosial di Singapura satu keistimewaan yang tidak harus diambil ringan, dan usaha itu hendaklah diteruskan oleh golongan belia.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keharmonian dan perpaduan sosial di Singapura satu keistimewaan yang tidak harus diambil ringan, dan usaha itu hendaklah diteruskan oleh golongan belia.

Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pertahanan Dr Mohamad Maliki Osman menekankan demikian dalam satu acara sembang santai bersama 100 pemimpin muda antarabangsa di Program Pemimpin Muda (YLP), pada Rabu (19 Jun).

Kesemuanya para peserta itu datang dari lebih 10 negara berbeza dan mereka berkongsi pentas mencari huraian bagi isu-isu yang menjejas kehidupan keagamaan dan perpaduan.

YLP diadakan bersempena Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Bersepadu (ICCS) anjuran Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS).

PARA PEMIMPIN BELIA MAHU BERTINDAK

Salah seorang pemimpin muda yang menyertai sesi tersebut ialah Ustaz Muhd Ashraf Anwar, 25 tahun, berkongsi perancangan beliau bersama para peserta lain.

"Yang penting sekali kita sudah memulakan komunikasi dengan teman-teman kita daripada program ini dan kami akan mengadakan susulan selepas program ini," kata Ustaz Ashraf, yang juga bertugas sebagai seorang pengurus program di OnePeople.sg.

Bagi Cik Shereen Williams, 36 tahun, yang diundang menyertai persidangan ini oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), hasil perbincangan ini akan beliau kongsi bersama masyarakat di Wales.

Anak kelahiran Singapura ini berhijrah ke United Kingdom 14 tahun lalu dan merupakan seorang aktivis masyarakat.

"Di Wales, kami mempunyai perundangan yang mengukuhkan perpaduan dalam kerja-kerja yang kami lakukan.

"Salah satu perkara yang saya akan bawa pulang ialah, tidak cukup untuk hanya adakan perundangan, kita harus memperkasa masyarakat untuk saling mempercayainya dan mereka yang faham, ini penting untuk masa hadapan," jelas Cik Shereen, yang aktif menganjurkan program-program silang agama di Wales.

SIKAP TOLERANSI PERLU DIPUPUK

Semasa persidangan itu, tetamu kehormat, Presiden Halimah Yacob turut menekankan bahawa perpaduan bukan sesuatu yang mustahil sekiranya masyarakat boleh menjadi lebih bertoleransi dan mencari persamaan daripada perbezaan masing-masing.

Dr Maliki pula turut berkongsi harapannya bagi pemimpin muda ini.

"Apa yang kita inginkan ialah mereka sebagai pemimpin muda melihat apa yang telah mereka pelajari, mendekati rakan-rakan mereka, memastikan bahawa perjalanan ini satu perjalanan yang kita boleh berjalan bersama memastikan bahawa generasi-generasi akan datang terus mengambil berat isu keharmonian kaum ini," ujar Dr Maliki.

Persidangan antarabangsa pertama di Singapura mengenai masyarakat bersepadu diilhamkan Presiden Halimah Yacob.

Ia menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari 40 negara dan akan berakhir pada 21 Jun. 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan