Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keharmonian agama satu usaha berterusan di Singapura: Halimah Yacob

Keharmonian agama akan sentiasa menjadi satu usaha berterusan bagi Singapura, menurut Presiden Halimah Yacob pada Rabu (15 Mei). Beliau menambah, penganut pelbagai agama di sini semakin berpegang teguh kepada kepercayaan masing-masing sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 May 2019 02:59PM Dikemas Kini : 16 May 2019 01:11AM

BEIJING: Keharmonian agama akan sentiasa menjadi satu usaha berterusan bagi Singapura, menurut Presiden Halimah Yacob pada Rabu (15 Mei). Beliau menambah, penganut pelbagai agama di sini semakin berpegang teguh kepada kepercayaan masing-masing sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Adalah penting untuk rakyat kita menjadi warga negara Singapura yang baik, sedang mereka menjadi penganut agama Buddha, Tao, Kristian, Islam, atau Hindu yang baik," kata Puan Halimah.

Beliau berucap semasa pembukaan Persidangan Dialog Tamadun Asia di Beijing pagi ini - acara penting di China yang bertujuan untuk menggalakkan pertukaran antara tamadun dan kerjasama antara negara.

Mengulas lebih lanjut tentang pengalaman Singapura, Puan Halimah berkata meskipun agama dilihat sebagai faktor positif yang dapat mengukuhkan masyarakat, negara ini "secara tegas mengamalkan sistem sekular".

Ia juga bersifat adil dalam pendekatannya terhadap semua agama dan bekerja keras untuk membina pemahaman dan toleransi antara agama.

Sebagai contoh, terdapat undang-undang yang ketat terhadap penghinaan agama lain dan pencampuran agama dengan politik dilarang.

"Setiap kumpulan mengekalkan amalan budaya dan agama mereka sendiri, dan kami tidak membenarkan mana-mana kumpulan memaksa amalan dan keperluan mereka ke atas orang lain."

Bagi Singapura, Presiden Halimah berkata prinsip penubuhan negara ini adalah untuk berlaku adil terhadap semua warga negara tidak kira kaum, bahasa atau agama.

Inilah yang "diperjuangkan dengan gigih" oleh para pengasas Singapura sehingga membawa kepada perpisahan dari Malaysia pada tahun 1965 dan kemerdekaan.

Beliau menarik perhatian kepada pelbagai dasar yang telah diperkenalkan sejak itu untuk menggalakkan pergaulan dan pemahaman - daripada sekolah-sekolah yang menyepadukan pelbagai kaum, hingga peraturan perumahan awam dan perkhidmatan negara.

Baru-baru ini, menurut beliau, Singapura juga meminda Perlembagaan untuk memastikan golongan minoriti akan dipilih secara tetap sebagai Presiden.

"Singapura menganggap kerencaman sebagai suatu kekuatan," kata Presiden Halimah.

"Kepelbagaian latar belakang dan sudut pandangan yang ditawarkan oleh kelompok masyarakat berbeza-beza memperdalam pemahaman kami tentang dunia yang pantas berubah."

Usaha Singapura untuk menyepadukan masyarakat yang berbeza juga menjadikannya lebih berdaya tahan dan pendekatan ini berhasil dalam interaksi luarannya.

"Persamaan budaya dan bahasa serta hubungan keluarga membantu rakyat Singapura menjalinkan persahabatan dengan negara-negara Asia yang lain dan mewujudkan rasa persaudaraan kerana kami dapat memahami satu sama lain dengan baik," kata Puan Halimah.

"Namun kami menjalinkan hubungan kami dengan negara-negara lain sebagai negara Singapura, dan bukan sebagai negara Cina, negara Melayu, atau negara India."

Presiden Halimah berkata keadaan Singapura adalah satu mikrokosmos cabaran lebih besar dunia, iaitu bagaimana untuk memastikan orang-orang dari agama, nilai dan latar belakang berbeza dapat hidup bersama secara harmoni.

"Kami sebuah negara yang masih muda, dan perlu mencari jalan sendiri ke hadapan," katanya.

Puan Halimah sedang dalam rangka lawatan tiga hari di China yang berakhir pada Khamis.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan