Images
  • buku persilatan
    Buku rujukan tentang seni persilatan dilancarkan 10 Feb. (Gambar: BERITAmediacorp)

Kehalusan, pengertian seni persilatan Melayu diserlahkan dalam bentuk buku

SINGAPURA: Kehalusan seni persilatan jarang sekali diserlahkan dalam gelanggang dewasa ini, apatah lagi difahami khalayak ramai akan niat mahupun nilai di sebalik setiap gerak-geri dan langkah.

Dalam usaha mempertahankan seni warisan Melayu itu, sebuah buku rujukan tentang seni persilatan yang menyorotkan tatabahasa dan pengertian di sebalik pergerakan silat dilancarkan hari ini (10 Feb).

Dari pandangan mata kasar kita, memanglah tendangan yang disempurnakan seorang pesilat adalah untuk mempertahankan dirinya.

DALAM KEKASARAN PENUH TERTIBNYA, SILAT BUKAN SEKADAR SENI BELA DIRI

Namun jika diperhatikan lebih teliti, setiap pergerakan sebenarnya membezakan tujuan antara untuk membalas, mengelak, menangkis atau menyembunyikan diri.

Persilatan Melayu lazimnya dikenali sebagai satu seni bela diri walhal setiap geri dan langkah turut melantunkan isyarat bahasa yang sarat dengan makna dan kaya kesantunannya.


Bahkan, seni persilatan juga mempunyai pantang larangnya yang tersendiri dan penuh adat istiadat yang boleh dijadikan pedoman hidup andai dinilai dari segi makrifatnya.

Umpamanya, menurut seorang veteran pesilat Singapura, Isiah Majid, dalam adat menghormat atau menyembah.

"Yang sebenarnya dia ada tahap-tahapnya yang tersendiri di mana apabila tangan kita diletak pada dada, adalah untuk sesama kita. Bila di bawah dagu untuk golongan yang berlainan. Bila di bawah hidung untuk golongan yang berlainan dan ini (di dahi) adalah untuk peringkat yang sangat tinggi seperti raja atau presiden kita,' terang Cik Isiah, guru kanan Silat Seni Gayong Singapura.


Veteran pesilat Singapura, Cik Isiah Majid (paling kiri). (Gambar: Nurelhudaa Jaffar/Facebook)

Sayangnya, tambah Cik Isiah, semua itu tidak diikut lagi sedangkan ia menunjukkan betapa rapinya orang Melayu dalam melaksanakan adat istiadat.

"Seni silat ini sama seperti tarian melayu. Ada banyak yang kita boleh bawa bersama yang boleh kita jadikan harta dari sudut intelektual yang tidak boleh kita jadikan sijil. Bererti, siapa ada sijil ini bererti dia beradab atau dia bersopan. Tidak boleh macam itu kan? Ia perlu ditonjolkan, melalui ilmu kita dapat mempamerkan ini. Ini yang saya khuatir ia tidak akan berlaku jika tidak ada generasi penerus pada masa hadapan," luah Cik Isiah.

Mujur, belum terlambat untuk masyarakat Melayu setempat mengenali warisan seni persilatan.


Berbekalkan pengalaman selama lebih 40 tahun dalam dunia persilatan, Cik Isiah mencurahkan ilmunya menerusi sebuah buku berjudul 'Bahasa dan Budaya Dalam Seni Persilatan'.

BUKU PERSILATAN BARU KHAZANAH TAMBAHAN WARISAN MELAYU

Buku tersebut dilancarkan siang tadi oleh Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang berharap agar sumber baru itu boleh dijadikan satu khazanah tambahan dalam menjunjung warisan orang Melayu.


"Sewajarnya, seni mempertahankan diri masyarakat kita ini dikekalkan sebagai sebahagian warisan kita. Bak kata pepatah, yang lama dikelek, yang baharu didukung. Inilah yang kita harapkan. Melalui inisiatif dan usaha seperti ini, kita dapat menyuntik minat akan bahasa dan budaya ibunda kita agar bahasa dan budaya kita akan terus dilestarikan oleh generasi pelapis," tekan Dr Faishal yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarg (MSF).

Buku tersebut, yang disokong oleh Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Bahasa Melayu (MLLPC), mempunyai 500 salinan.

Lebih 100 naskhah bakal disediakan untuk perpustakaan sekolah menengah merata negara sebagai bahan rujukan.

- BERITAmediacorp/aq

Top