Images
  • kedutaan vietnam
    Kedutaan Vietnam di Singapura. 

Kegiatan maksiat segelintir warga tidak wakili masyarakat Vietnam di S'pura

SINGAPURA: Kegiatan maksiat yang dilakukan segelintir individu di sini tidak mewakili penduduk Vietnam di Singapura, tegas seorang pegawai daripada kedutaan Vietnam.

Terdapat sekitar 15,000 warga Vietnam yang tinggal di Singapura.

Kebanyakan mereka bekerja dalam industri makanan dan minuman seperti di restoran dan pusat penjaja atau berada di sini untuk melanjutkan pengajian, dedah Timbalan Ketua Kedutaan Le Cong Dung.

"Mereka (yang bekerja di KTV) membentuk jumlah yang kecil. Tidak semua warga Vietnam datang ke Singapura untuk bekerja di KTV," tambah beliau.

"Malangnya, wanita Vietnam ini yang dijangkiti dan ia (menyebabkan) gambaran awam bahawa masyarakat Vietnam hanya melakukan (kerja-kerja di KTV)," kata Encik Dung.

"Namun, saya boleh memberi jaminan kepada anda bahawa warga Vietnam di sini adalah antara orang-orang yang paling mesra. Kami (kebanyakannya) bekerja bersama para penjaja... itu antara sektor utama yang diceburi warga Vietnam dengan permit bekerja di sini," ujar beliau.

Demikian respons Encik Dung kepada laporan-laporan tentang diskriminasi terhadap warga Vietnam di Singapura selepas kes pertama kelompok KTV yang dikesan merupakan seorang pemegang pas lawatan jangka pendek warga Vietnam yang diuji positif COVID-19 pada 11 Julai.

Setakat Rabu (21 Jul), kelompok itu dikaitkan dengan 215 kes.

Ia juga dikaitkan dengan kelompok di Pelabuhan Perikanan Jurong dengan jangkitan-jangkitan yang berbeza dari segi genetik berbanding varian virus yang dikesan daripada kelompok-kelompok tempatan lain, dedah Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (19 Jul).

Meskipun wanita Vietnam itu adalah kes pertama yang dikesan daripada kelompok tersebut, Pengarah Khidmat Perubatan Kementerian Kesihatan (MOM) Kenneth Mak menjelaskan pada Jumaat (16 Jul) bahawa ia tidak bermakna beliau adalah punca jangkitan.

Memandangkan wanita itu sudahpun berada di Singapura untuk tempoh agak lama, ia kemungkinan "besar" punca tercetusnya penularan kelompok tersebut adalah disebabkan jangkitan daripada penularan dalam masyarakat sebelum itu, kata beliau.

"Kami sudah bercampur dengan masyarakat Singapura sekian lama dan kami menganggap diri kami sebagai rakyat Singapura juga, sebagai penduduk jangka panjang...kami tidak mengaitkan diri dengan mereka yang datang ke Singapura untuk jangka pendek," kata Pengerusi Dewan Perniagaan Vietnam (VietCham) David Nguyen.

"Dan saya rasa kebanyakan mereka di sini (termasuk) rakyat Singapura maklum bahawa kegiatan seperti itu atau pelawat jangka pendek yang datang ke Singapura kebanyakannya dianjurkan oleh rakyat Singapura juga (seperti) pemilik tempat minuman keras, kelab," ujar beliau.

"Ia tiada kaitan dengan penduduk Vietnam yang tinggal di sini, yang bercampur dengan masyarakat di sini dan hidup aman damai di Singapura," tekan Dr Nguyen.

"Saya berharap (mereka yang tinggal) di Singapura akan mempunyai gambaran lebih baik tentang masyarakat Vietnam di sini."

COVID-19 TIDAK BEZAKAN KEWARGANEGARAAN

Anggota Parlimen Sun Xueling (PAP-Punggol West) pula berkongsi dalam satu catatan Facebook pada Sabtu (17 Jul) bahawa seorang penduduk menulis kepadanya tentang keprihatinan beliau terhadap nasib masyarakat Vietnam di sini.

Dalam emelnya kepada Cik Sun, penduduk itu berkata bahawa wanita Vietnam berdepan dengan cercaan dan ucapan-ucapan kebencian selepas kes pertama yang dikaitkan dengan kelompok KTV dikesan.

Dalam catatan beliau, Cik Sun menggesa orang ramai supaya lebih bijak menilai dan berbelas ihsan agar tidak menyakiti mereka yang "tidak bersalah".

Bercakap kepada Mediacorp hari ini, Cik Sun berkata penduduk itu menarik perhatian kepada wanita-wanita Vietnam yang juga merupakan "ibu, isteri, pekerja barisan hadapan" yang dihambur cercaan ketika mereka keluar membeli barangan penting di tempat awam.

"Saya memberi jaminan bahawa saya akan membangkitkan kesedaran tentang isu yang dikemukakan dan menggalak sikap hormat-menghormati dan kesopanan. Kita tidak seharusnya memandang buruk seluruh masyarakat hanya kerana tindak laku buruk sesetengah mereka."

Koronavirus "tidak membezakan" antara kewarganegaraan mahupun pekerjaan, tekan Cik Sun.

- CNA/SM/sm

Top