Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kegenjotan peralihan pucuk pimpinan tidak harus jejas reputasi antarabangsa S'pura - PM Lee

Walaupun peralihan pucuk pimpinan Singapura kini tidak seperti yang dirancang, para pemimpin luar negara tetap akan berurusan dengan pasukan pemimpin yang sama buat jangka pendek.

Anggaran Waktu Membaca:
Kegenjotan peralihan pucuk pimpinan tidak harus jejas reputasi antarabangsa S'pura - PM Lee

PM Lee dan DPM Heng di sidang media pada 8 Apr. (Gambar: Terence Tan/MCI)

Diterbitkan : 08 Apr 2021 10:08PM Dikemas Kini : 08 Apr 2021 10:11PM

SINGAPURA: Walaupun peralihan pucuk pimpinan Singapura kini tidak seperti yang dirancang, para pemimpin luar negara tetap akan berurusan dengan pasukan pemimpin yang sama buat jangka pendek.

Apa yang lebih penting bagi mereka adalah mutu kepimpinan Singapura pada jangka masa panjang.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menegaskan demikian dalam satu sidang media pada Khamis (8 April) apabila ditanya bagaimana keputusan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat untuk mengundurkan diri sebagai calon yang menggantikannya, bakal menjejas reputasi Singapura di persada dunia.

"Pada dasarnya, pasukan itu tidak berubah. Masih ada Menteri-menteri yang sama. Saya masih Perdana Menteri, Swee Keat masih Timbalan Perdana Menteri. Mereka akan berurusan dengan orang-orang yang sama dan itu yang penting bagi mereka dari sudut pandangan dua-, tiga-, empat- tahun, yang mana dalam diplomasi, ia adalah jangka masa agak panjang," kata PM Lee.

Pasukan 4G sudah meminta PM Lee supaya terus menyandang jawatannya kerana mereka memerlukan lebih banyak masa untuk memilih seorang ketua dalam kalangan anggota pasukan.

PM Lee berkata apa yang menarik perhatian rakan-rakan sejawatan dari luar negara pada jangka masa panjang adalah mutu pemimpin Singapura.

"Jika selepas proses ini, kita dapat mengekalkan menteri-menteri dan para pemimpin negara yang bermutu tinggi... ini mungkin sahaja jalan terbaik bagi Singapura.

"(Namun) jika pada akhirnya, kelakonan kita menurun dan mereka melihat kita lalu mengatakan, 'Ah, mereka tidak lain berbanding tempat-tempat lain'... baru kita tidak ada lagi nilai untuk mereka dan ia akan merugikan Singapura."

Singapura, katanya lagi, harus memastikan mutu kepimpinannya dan kekal stabil sedang proses peralihan dilakarkan.

Tentang sama ada perkembangan terkini ini akan menjejas keyakinan pelabur asing terhadap Singapura, Menteri Perusahaan dan Perdagangan Chan Chun Sing senada dengan pandangan PM Lee dan mengatakan bahawa para pemimpin negara akan meneruskan tugas masing-masing dalam tempoh rancangan peralihan pucuk pimpinan.

"Pasukan, sistem, rancangan, proses, dasar - semuanya masih ada untuk menjamin kelangsungan dan kestabilan bagi para pelabur," kata Encik Chan.

"Dan kami akan terus bekerja keras untuk dikenali sebagai tempat selamat bagi pelabur untuk meletakkan modal, mengembangkan bakat dan melindungi hak milik intelektual mereka di tengah-tengah ketidaktentuan global."

Encik Chan, yang juga penolong kedua setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat, menambah bahawa rancangan peralihan pucuk pimpinan serta dasar yang jelas dan konsisten sudah menjadi tunggak Singapura sejak sekian lama dan ia meletakkan negara ini dalam keadaan yang mampu menarik pelaburan jangka panjang.  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan