Images
  • Kembar main
    Encik Asiek (dua dari kiri) dan kembarnya (dua dari kanan) teruja dapat sambut Lebaran pertama dengan anak titipan. 

Kegembiraan berkembar: Adik-beradik kembar rai Ramadan & Syawal pertama sebagai ibu bapa titipan

BERITAmediacorp: Sembilan tahun berkahwin, Encik Asiek Ashari dan Cik Zaina Zainal belum dikurniakan cahaya mata. Namun Hari Raya tahun ini, kekosongan tersebut terisi akhirnya.

Sejak Julai lalu, mereka memelihara seorang anak titipan - iaitu kanak-kanak yang diletakkan di bawah jagaan sementara keluarga lain atas sebab-sebab seperti dianiaya atau tidak dapat dijaga dengan sempurna oleh ibu bapa kandung.

Memang pada awalnya tidak mudah untuk mendapatkan kepercayaan anak kecil yang baru menginjak usia dua tahun ketika pertama kali dibawa pulang.


Namun, berkat curahan kasih sayang cukup mendalam dari Encik Asiek dan isterinya, tawa riang seorang kanak-kanak kini mengisi rumah mereka. Sambutan Ramadan dan persiapan menjelang Syawal juga menjadi lebih bermakna.

"Ramadan sebelumnya agak sunyi sedikit, Ramadan tahun ini ada perbezaannya. Kami mempunyai anak titipan yang harus kita beri tumpuan, mengajarnya apa erti puasa walaupun masih kecil. Kadangkala lucu juga bila dia nak ikut serta bersahur," kongsi Cik Zaina.

SEBAK DIPANGGIL 'MAMA', 'PAPA'

Baru hampir 11 bulan menjaga anak titipan tersayang, begitu banyak kenangan manis sudah terukir - termasuk ketika pertama kali dipanggil "mama" dan "papa".


"Yang paling sebak bila kita lihat dia senyum, ketawa, gembira. Anak titipan tidak perlu wang dan ringgit, mereka hanya perlu kasih sayang dari kami," luah Encik Asiek, 41 tahun.

Beliau dan isteri sebenarnya sudah lama tertarik dengan Skim Keluarga Titipan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF). Sepupu Encik Asiek sendiri mula menjadi seorang ibu titipan pada 2011.

Pasangan itu bagaimanapun tidak dapat meneruskan hasrat mengambil seorang anak titipan secepatnya kerana perlu tinggal di luar negara.

Hanya pada 2019, Encik Asiek dan Cik Zaina dapat memenuhi hajat mereka.


"Kami ada juga mempertimbangkan untuk mengambil anak angkat. Tetapi ia satu tanggungjawab besar, jadi kami mahu mencuba dan menimba pengalaman dengan menjaga seorang anak titipan dahulu," kata Encik Asiek.

Sebagaimana ditetapkan di bawah Skim Keluarga Titipan, anak titipan perlu dipulangkan kepada keluarga asal apabila tiba masanya.

NIKMAT LALUI CABARAN JADI IBU BAPA 'BARU'

Meski beliau dan isteri sudah sangat terbiasa dengan kanak-kanak kerana mempunyai ramai anak saudara, banyak perkara baru yang dipelajari sejak menjaga anak titipan.

Antaranya termasuk menyesuaikan jadual seharian, sama seperti ibu bapa 'baru' lain. Encik Asiek dan Cik Zaina kedua-duanya bekerja dalam sektor yang menawarkan khidmat penting. Jadi, meluangkan masa bersama anak juga mencabar bagi mereka.


"Sokongan keluarga itu penting. Kami bersyukur ada ibu bapa yang ada untuk memberi kami tunjuk ajar," kongsi pasangan itu.

Akur rasa sayang mendalam terhadap anak yang dijaga akan membuat beliau dan isteri berasa sedih satu hari nanti kerana tidak dapat kekal bersama, Encik Asiek tetap mengganggap menjaga seorang anak titipan sebagai suatu "keberkatan".


"Menjaga anak titipan walaupun seketika... senyuman mereka memberi berkah. Jadi kepada semua keluarga, sahabat-sahabat handai, dan saudara-mara, ambillah tahu tentang anak titipan," kata Encik Asiek lagi.

KEMBAR AMBIL ANAK TITIPAN TIDAK LAMA SELEPAS ITU

Lebih manis lagi, kembar Encik Asiek - iaitu Cik Nurasikin - juga akan meraikan Lebaran pertamanya dengan seorang anak.

Beliau dan suami, Encik Fairus Jaafar, mendirikan rumahtangga pada 2006 tetapi belum dikurniakan seorang cahaya mata. Mereka bahkan ada juga berikhtiar dengan menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF).

Namun ada hikmahnya.


"Mungkin kalau kami ada anak, kami tidak akan tahu apa itu maknanya menjaga seorang anak titipan. Mungkin kami tidak akan menjaga seorang anak titipan seperti sekarang ini," kata Cik Nurasikin.

Anak titipan berusia 5 tahun diamanahkan kepada beliau dan suami pada Januari tahun ini, selepas mereka menjalani proses permohonan yang memakan masa sekitar 3 bulan.

"Prosesnya mudah, kami diberitahu ia akan mengambil masa tiga bulan dan semuanya mengikut jadual," tambah Cik Nurasikin.

ANAK TITIPAN SUKAR KENAL HURUF, BACA

Anak titipan Cik Nurasikin dan Encik Fairus sedikit sulit untuk mengenal huruf dan bertutur dengan lancar (speech dictation).

Ini mendorong pasangan tersebut untuk tekun menilai keupayaan anak titipan itu sendiri sebelum proaktif memupuk minat membaca dalam diri anak mereka.

Cik Nurasikin turut rajin bertanya dengan saudara-mara tentang apa yang boleh dilakukan untuk memberi sokongan terbaik kepada anaknya.


Dalam waktu singkat, berkat usaha gigih Cik Nurasikin dan suami, anak titipan mereka mencatat kemajuan dan sudahpun berupaya membaca sendiri.

SEHARUSNYA PERKENALKAN ANAK TITIPAN KEPADA KELUARGA PADA RAYA

Ramadan kali ini, Cik Nurasikin lebih 'sibuk' daripada biasa.

"Kami seronok mengajarnya untuk bangun sahur, solat tarawih bersama-sama," cerita beliau.

Anak titipan mereka bahkan dapat cuba-cuba puasa, sesuatu yang Cik Nurasikin dan Encik Fairus banggakan.

Raya pula seharusnya menjadi peluang untuk mengajar lebih banyak tentang amalan dan budaya keluarga mereka kepada anak titipan yang dijaga.

Pelbagai persiapan turut Cik Nurasikin lakukan, seperti membeli baju Raya untuk anaknya dari awal lagi.


Malangnya muncul pula 'circuit breaker'.

"Pada mulanya rancangan kami Hari Raya tahun ini adalah seperti biasa, untuk berpakaian sedondon untuk memperkenalkan anak titipan kami kepada saudara mara yang kami kunjungi," kata Encik Fairus.

"Namun, kerana 'circuit breaker', kami hanya mampu untuk berpakaian sedondon dan menggunakan panggilan video," tambah Cik Nurasikin.

TEKAD SEMAI NILAI MURNI

Yang pasti, sambut Raya atau tidak tahun ini, pasangan itu bertekad membesarkan anak titipan mereka itu dengan penuh kasih sayang.


"Kami ikhtiar untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa yang terbaik untuknya. Moga dapat memberi pengaruh positif yang kuat dalam membentuk keperibadian dirinya pada masa hadapan. Itulah doa kami untuk dia," luah Cik Nurasikin.

Perangkaan rasmi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menunjukkan, sehingga Jun tahun lalu, terdapat lebih 540 anak titipan - naik hampir 40 peratus berbanding Jun 2016.


(Gambar hiasan: John Macdougall/AFP)

Ini sekali gus bermakna, lebih banyak lagi ibu bapa titipan seperti Encik Asiek dan Cik Nurasikin diperlukan.

Pada 20 Jun nanti, dua pasangan itu akan mengongsi pengalaman menerusi satu sesi perkongsian online tentang Skim Keluarga Titipan. Mereka yang berminat boleh mengirimkan emel kepada fostering@msf.gov.sg, menghubungi 6354 8799 atau WhatsApp 9645 8231.  

- BERITAmediacorp/aq

Top