Images

Kedwibahasaan kini lebih 'penting, relevan & menonjol', kata Menteri Pendidikan

SINGAPURA: Dalam dunia yang berpecah-belah, keupayaan berdwibahasa akan menjadi ‘penting, relevan dan menonjol lebih daripada sebelumnya”.

Demikian menurut Menteri Pendidikan Chan Chun Sing hari ini (24 Nov).

Encik Chan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan menyambut ulangtahun ke-10 Dana Lee Kuan Yew bagi Kedwibahasaan. Dana tersebut yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew sudahpun memperuntukkan S$27 juta untuk hampir 200 projek sepanjang 10 tahun yang lalu.

Ini termasuk bengkel-bengkel, persembahan-persembahan, buku-buku dan sumber-sumber berbilang media bagi kanak-kanak prasekolah dan golongan belia.

"Di dunia yang mengancam untuk membeza-bezakan atau memecah-belahkan mengikut persaingan atau perbezaan ideologi, budaya atau sistem tadbir urus, lebih penting lagi untuk kita menonjolkan diri kita dengan keupayaan menyatukan perbezaan-perbezaan tersebut demi menjalin hubungan dengan bahagian-bahagian berbeza di dunia, dengan penduduk-penduduk berlainan yang mempunyai pandangan berbagai-bagai," kata Encik Chan.

Sedang China, India dan Asia Tenggara membangunkan ekonomi, politik dan budayanya, kemampuan Singapura untuk berdwibahasa akan membantu dalam memahami budaya-budaya yang berlainan ini, berhubung dengan mereka dan kekal relevan, tambah beliau.

Katanya, kedwibahasaan menjangkaui pemahaman bahasa lantas memberi rakyat Singapura "nilai dan pandangan yang dikongsi bersama untuk membentuk identiti negara kita".

"Jika tidak, kita mungkin terjebak dalam perbalahan budaya yang berlaku di negara lain di dunia atau mungkin terpengaruh oleh daya luar dan tertarik untuk hanya mengamalkan model yang sama di sini tanpa pemahaman yang betul tentang keperluan dan konteks kita," kata beliau.

TUNGGAK IDENTITI SINGAPURA

Encik Chan menekankan bahawa kedwibahasaan meresap ke jati diri rakyat singapura, yang membentuk identiti negara, dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara buat semua, dengan kita saling terhubung dengan warisan pelbagai kumpulan etnik yang kaya dan rencam melalui dasar dwibahasa kita

"Komitmen kita kepada kedwibahasaan menjangkaui usaha menggalak dan membolehkan penduduk kita mempelajari, menggunakan dan menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara di samping bahasa ibunda kita," kata beliau.

"Ia adalah komitmen untuk membina identiti tersendiri sebagai rakyat Singapura yang mampu memahami dan menghubungkan perbezaan antara budaya, pandangan dan ideologi."

Encik Chan merumuskan bahawa kemampuan untuk menghargai lebih daripada satu bahasa, menghubungkan pandangan-pandangan dan sistem nilai yang berbeza adalah kelebihan yang baik dan ini perlu terus "membezakan kita sebagai rakyat Singapura".

Menteri Pendidikan itu juga mengumumkan bahawa jawatankuasa dana tersebut mahu meneroka dan menggalak lebih banyak kandungan yang dihasilkan pengguna, yang boleh diakses menerusi lebih banyak wadah serta mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai rakan demi mendampingi masyarakat dengan lebih meluas.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga menyampaikan ucapan di acara itu.

"Dana Lee Kuan Yew bagi Kedwibahasaan ditubuhkan oleh Encik Lee sendiri. Beliau dengan sepenuh hati yakin bahawa kedwibahasaan penting demi kejayaan Singapura dan setiap kanak-kanak seharusnya mula berdwibahasa sejak awal lagi dan Dana itu akan memainkan peranan sebagai pemangkin untuk memupuk rasa cinta kepada pembelajaran bahasa," kata beliau.

"Sepanjang tahun-tahun yang lalu, dana itu tetap dengan visi dan misinya. Ia sudahpun menyokong banyak projek yang wajar...Izinkan saya mengucapkan tahniah kepada dana itu atas usaha 10 tahun menggalak kedwibahasaan." 

- CNA/SM/sm

Top