Images
  • faishal
    Setiausaha Parlimen Kanan Muhammad Faishal Ibrahim di Darul Islah bagi acara pengagihan daging korban. (Gambar: FB/ Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim)

Kedutaan UAE derma kambing korban untuk keluarga kurang mampu menerusi Jamiyah

SINGAPURA: Hari Raya Aidiladha bagi 100 keluarga berpendapatan rendah lebih ceria lagi apabila menerima daging korban yang didermakan.

Dianjurkan Jamiyah, acara pengagihan daging korban tahun ini dijayakan dengan sifat dermawan masyarakat umum dan Kedutaan Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Singapura.

Ini adalah tahun ketiga kedutaan itu bekerjasama dengan Jamiyah bagi acara ini.

Di Rumah Tumpangan Darul Islah hari ini (11 Ogos), para penghuninya dan relawan sibuk menyingsing lengan mengagihkan daging korban untuk para penerima bantuan.

Daging korban itu adalah hasil derma para dermawan orang awam dan juga Kedutaan Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Singapura yang turut menderma 20 ekor kambing.

Daging-daging korban berkenaan diagihkan 2 kilogram setiap seorang daripada 100 keluarga kurang berkemampuan yang hadir.

Sifat gotong royong dan juga keihsanan tersebut, menurut Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, mencerminkan tanda kemakmuran yang dikecapi negara sejauh ini.

Perkara ini, kata beliau, tidak harus diambil ringan kerana merupakan satu kekuatan fabrik sosial Singapura yang boleh menjadi contoh kepada negara luar.

"Apabila kita menonjolkan ciri-ciri dan nilai keihsanan di kalangan warga kita, mereka yang dari negara dan warga lain dapat melihat bagaimana nadi dan semangat universal keihsanan, inklusif yang dipaparkan masyarakat kita boleh dicontohi oleh mereka dari masyarakat lain," ujar Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang juga merupakan Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan.

Atas sikap-sikap itu jugalah, Kedutaan UAE di Singapura ingin meneruskan usaha murni bersama ini pada masa-masa mendatang.

"UAE dan Singapura, kami berkongsi nilai-nilai yang sama. Nilai bagaimana kita hidup harmoni seperti konsep keluarga, prihatin tentang masyarakat, mereka yang tersayang dan jiran tetangga.

"Inilah sebabnya mengapa kami terus bekerjasama dalam acara sedemikian bukan hanya untuk masyarakat Islam Singapura tetapi masyarakat lain juga," kongsi Setiausaha Pertama Kedutaan UAE di Singapura Encik Mohamed Salem Al Falahi. 

- BERITAmediacorp/ru

Top