Images
  • crave

Kedai seperti Selera Rasa tidak lagi jual nasi lemak ikan dek penutupan Pelabuhan Perikanan Jurong

SINGAPURA: Ekoran penutupan Pelabuhan Perikanan Jurong selama dua minggu sehingga 31 Julai ini, penjual-penjual makanan yang menggunakan ikan dan makanan laut lain mengalami nasib berbeza-beza.

Ada yang terpaksa mengubah menu.

Gangguan bekalan ikan itu juga menimbulkan beberapa persoalan tentang apakah harga hidangan makanan laut akan naik?

Yang pasti hidangan nasi lemak tradisional semestinya 'tidak lengkap' tanpa ikan. Namun disebabkan penutupan pusat borong ikan di Jurong itu, hidangan popular tempatan itu memang turut terjejas.

Misalnya, kedua-dua cawangan Selera Rasa Nasi Lemak di Adam Road dan Ang Mo Kio tidak lagi dapat menyajikan set Nasi Lemak ikan sejak Sabtu lalu (17 Jul).

"Kalau di Selera Rasa, kita berhenti tawarkan ikan terus, sampai ikan segar datang. Pasal di Selera Rasa, kita tidak pakai ikan beku. Semua ikan segar daripada pasar.

"Setahu saya, kita punya pembekal ikan cakap harga mereka akan naik 50-70%," kongsi pemilik Selera Rasa, Encik Malik kepada BERITAmediacorp.

BEKALAN OTAK-OTAK IKAN MUNGKIN TIDAK CUKUP

Selain itu, lebih 40 cawangan nasi lemak CRAVE yang dimiliki bersama Encik Malik juga berdepan dengan ketidakpastian bekalan otak-otak ikan.


Menurut beliau, bekalan otak-otak yang dijual di cawangan-cawangan Crave dan Selera Rasa mungkin hanya cukup untuk seminggu lagi sahaja dan makanan itu mungkin tiada dalam menu nasi lemaknya selepas itu.

Bagaimanapun menu nasi lemak ikan selar CRAVE tidak begitu terjejas dedah Encik Malik, kerana hanya 10 peratus hingga 20 peratus ikan yang digunakannya adalah ikan segar. Selebihnya ialah bekalan ikan beku yang harganya juga lebih murah.

Lantaran itu, Encik Malik berkata CRAVE tidak dijangka akan menaikkan harga nasi lemak ikan selarnya buat masa ini.

BEKALAN IKAN RASA ISTIMEWA RESTAURANT TIDAK TERJEJAS

Restoran-restoran lain yang tidak mendapatkan bekalan ikan dan makanan laut lain secara tetap dari Pelabuhan Perikanan Jurong, juga masih boleh menghela nafas lega.


Misalnya Rasa Istimewa Restaurant di Pasir Ris, yang popular dengan hidangan ikan bakarnya, mendapat bekalan ikan dari Pelabuhan Perikanan Senoko.

Menurut pengurus restoran itu, Encik Brad Toh, pembekalnya sudah memberi jaminan bahawa bekalan ikan untuknya cukup untuk dua minggu lagi dan ini akan memastikan harga ikan terkawal.

"Kami bincang dengan pembekal kami, ketika masa sukar ini kami minta mereka supaya cuba kekalkan harga seboleh mungkin. Jadi kami akan kekalkan harga menu bagi pelanggan kami dalam masa sukar ini," kata Encik Toh.

Walaupun tidak menaikkan harga bagi lauk ikan, harga bagi hidangan makanan laut lain yang dijualnya masih menjadi tanda tanya. Ini khususnya udang.

"Mungkin ini akan kurang bekalan. Ini yang saya risau. Udang segar tidak boleh simpan lama. Jika benar-benar tiada bekalan, kami akan dapatkan dari sumber lain. Untuk ikan, ia masih okay kerana ada ikan dari kelong," ujar Encik Brad lagi.

Bekalan makanan segar seperti kerang kata beliau juga masih belum pasti, kata Encik Toh. 

- BERITAmediacorp/na

Top