Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kedai-kedai kopi giat lakukan persediaan agar pelanggan dapat biasakan diri pulangkan dulang, tapi hadapi cabaran

Kedai-kedai kopi yang dikunjungi BERITAmediacorp kini giat melakukan persediaan bagi membolehkan para pelanggan untuk membiasakan diri memulangkan dulang dan pinggan mangkuk masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kedai-kedai kopi yang dikunjungi BERITAmediacorp kini giat melakukan persediaan bagi membolehkan para pelanggan untuk membiasakan diri memulangkan dulang dan pinggan mangkuk masing-masing.

Ini meskipun sebelum denda dan peraturan memulangkan pinggan mangkuk dan dulang sendiri di kedai-kedai kopi dan pusat makanan itu dikuatkuasakan mulai 1 Januari depan.

Bagi kedai kopi seperti Makan Empire, ia sudahpun menyediakan troli-troli serta tanda-tanda di meja bagi mengingatkan para pelanggan untuk memulangkan pinggan mangkuk mereka sendiri agar lebih terbiasa dengan peraturan ini.

Namun, menurut Pemilik Bersama, Noorman Mubarak, terdapat beberapa cabaran lain yang timbul dan perlu diatasi.

"Rak-rak tetap yang perlu kami melaksanakan ini akan menarik perhatian (haiwan-haiwan) perosak seperti tikus dan burung yang akan pergi ke rak tersebut dan mengotorkannya," ujar Encik Noorman.

"Selain itu, bagi mereka yang memulangkan pinggan mangkuk mereka tetapi tidak tidak membersihkan sampah mereka, sampah itu akan menarik perosak-perosak itu juga," tambah beliau.

Encik Noorman juga melihat ada kesukaran untuk memulangkan pinggan mangkuk sendiri bagi hidangan tertentu.

"Makanan seperti stimbot. Kalau stimboat pakai banyak pinggan, 'hotpot' atau nasi padang yang dihidangkan satu-satu, jadi ada banyak pinggan. Jadi kadangkala pelanggan pun kalau dua orang, tiga orang mereka perlu pulangkan kesemuanya dan jadinya ia tak akan terlalu bersih. Kita pun mesti tolong juga," jelas Encik Noorman.

Lantas, pemilik bersama kedai kopi yang menawarkan sekitar tujuh gerai ini tidak menjangkakan akan adanya banyak perbezaan selepas peraturan ini dikuatkuasakan 1 Januari kelak.

"Kami masih memerlukan jumlah pekerja yang sama kerana perlu membersihkan dan membasmi kuman di meja-meja itu, dengan pinggan-pinggan yang masih ada sampah," kata Encik Noorman.

Sungguhpun begitu, beliau tetap mengalu-alukan inisiatif ini kerana menurutnya, ia akan meninggalkan kesan yang baik dari segi kebersihan dalam jangka masa panjang.

DAPAT JIMATKAN PEMBIAYAAN SEKITAR 40%

Bagi pemilik bersama kedai kopi Padi Emas, Yusof Erksan pula, langkah ini dapat menjimatkan pembiayaan untuk kerja-kerja pembersihan sekitar 40 peratus.

Selain dapat mengurangkan perbelanjaan bagi kerja-kerja pembersihan, ia juga dapat mengurangkan masa menunggu bagi para pelanggan.

"Apabila seseorang itu sudah pun selesai makan di satu meja, jika mereka terus memulangkan pinggan mangkuk itu sendiri, pelanggan seterusnya yang sedang menantikan tempat duduk boleh terus duduk di meja yang sudah bersih itu," ujar Encik Yusof yang berusia 43 tahun itu.

Menurutnya lagi, ini dapat mempercepatkan lagi waktu bagi pesanan yang ingin dibuat oleh para pelanggan.

Pemilik bersama kedai kopi Padi Emas yang juga mempunyai satu lagi cawangan di Jurong East ini juga berharap para pemilik kedai kopi dan para pegerai dapat memainkan peranan untuk sama-sama mengingatkan para pelanggan yang belum terbiasa.

"Apabila sudah lama membuat sesuatu, kadangkala perubahan itu mungkin ambil masa sedikit. Jadi kita harus sentiasa mengingatkan mereka mengenai peraturan memulangkan pinggan sendiri," kata Encik Yusof.

Kedai kopi Padi Emas kini dalam persiapan untuk menyediakan stesen pemulangan dulang agar para pelanggannya dapat membiasakan diri melakukannya sebelum 1 Januari nanti.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan