Images
  • valu$
    (Gambar fail: TODAY)

Kedai ABC Bargain Centre, ABC Express dan Valu$ tidak lagi guna frasa 'jualan tutup kedai' dalam iklannya: CCCS

SINGAPURA: Tiga kedai runcit secara sukarela bersetuju untuk berhenti daripada menggunakan frasa-frasa yang mengelirukan dalam iklan mereka, demikian menurut Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) pada Jumaat (16 Okt).

Pengendali kedai ABC Bargain Centre, ABC Express dan Valu$ berkata mereka tidak akan menggunakan frasa-frasa jualan tutup kedai seperti "closing down sale" dan "fire sale" dalam iklan mereka.

"Iklan yang mengandungi frasa sedemikian memberi gambaran bahawa tawaran harga murah itu adalah disebabkan oleh penutupan perniagaan itu dan harga tawaran tersebut hanya akan diberikan untuk tempoh masa yang terhad," menurut CCCS.

Pada 2019, ketiga-tiga pengendali runcit berkenaan berunding dengan CCCS untuk mengadakan perbincangan berhubung iklan-iklan tertentu dalam kedai mereka.

Sebelum pertemuan itu, frasa-frasa seperti "closing down sale" dan "fire sale" - dipaparkan secara meluas di kesemua cawangan mereka tanpa sebarang tarikh akhir, menurut CCCS.

"CCCS bependapat iklan sedemikian akan mengelirukan pelanggan yang percaya bahawa terdapat penjimatan kos, dan ia hanya ditawarkan untuk tempoh yang singkat," katanya.

Iklan-iklan yang mengelirukan pelanggan tertakluk dalam amalan tidak adil yang melanggar Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil) (CPFTA).

Ketiga-tiga syarikat runcit itu bersetuju untuk mengeluarkan frasa "fire sale" dalam iklan di kesemua cawangannya.

Mereka juga bersetuju untuk tidak mengiklankan sebarang produk sebagai diberi potongan harga untuk tempoh terhad melainkan jika cawangan runcit itu benar-benar akan berhenti beroperasi, menurut CCCS.

Kedai runcit itu juga tidak dibenarkan mengiklan produk sebagai diberi potongan harga apabila tidak ada penjimatan kos atau manfaat yang sebenar.

CCCS PANTAU PERNIAGAAN LAIN DENGAN AMALAN SERUPA

Menurut CCCS, beberapa kedai runcit tertentu yang berdagang sebagai ABC Bargain Centre dan Valu$ dikendalikan sebagai francais.

"Syarikat tersebut komited untuk memaklumkan dan memastikan semua cawangan kedai francais mematuhi kewajipan yang dinyatakan," ia menambah.

Kedai-kedai runcit itu juga komited untuk memberi kerjasama kepada CCCS secara berterusan bagi memastikan kewajipan yang dipersetujui dapat dipenuhi dan bagi memastikan pematuhan berterusan kepada CPFTA.

CCCS menambah bahawa dengan menerima komitmen sukarela syarikat runcit itu, ia maklum akan kerjasama mereka bagi memastikan amalan pengiklanan mereka mematuhi peraturan CPFTA.

"Namun, CCCS mempunyai hak untuk menyiasat sebarang pelanggaran komitmen atau sebarang amalan tidak adil oleh parti-parti tersebut," demikian menurut CCCS.

- CNA/HA/ha

Top