Images
  • stores
    Beberapa lesen kedai yang menjual rokok, termasuk sebuah cawangan 7-Eleven, digantung selama enam bulan. (Gambar: HSA) 

Kedai 7-Eleven antara 4 peruncit jual rokok kepada pelanggan bawah umur: HSA

SINGAPURA: Beberapa lesen kedai yang menjual rokok, termasuk sebuah cawangan 7-Eleven, digantung selama enam bulan setelah mereka didapati menjual rokok kepada para pelanggan di bawah umur. Ini menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Selasa (16 Apr).

Para peruncit yang melakukan kesalahan itu dikesan menerusi pemantauan HSA di premis berkenaan dan langkah penguatkuasaan.

Cawangan-cawangan tersebut adalah: Ajmir Store di 70 Woodlands Avenue 7, 1588 Le di 158B Rivervale Crescent, 7-Eleven di 68 Geylang Bahru and NH Mart di 620 Hougang Avenue 8.

Kesemua empat cawangan itu didapati menjual rokok kepada individu-individu bawah umur buat kali pertama.

"Kesalahan-kesalahan itu dikesan antara Januari hingga Mac tahun ini. Cawangan yang terjejas tidak dibenarkan menjual produk-produk tembakau semasa tempoh penggantungan selama enam bulan," menurut HSA.

HSA menambah, kesemua pemilik lesen gerai tembakau diingatkan untuk mendidik para pekerja mereka berhubung undang-undang berkenaan penjualan produk tembakau. Para penjual juga mesti mengesahkan usia mereka yang ingin membeli produk-produk tembakau.

Usia minimum yang dibenarkan bagi mengguna, memiliki atau membeli produk tembakau dinaikkan kepada 19 tahun mulai 1 Jan 2019.

Ia adalah sebahagian daripada rancangan pemerintah untuk menaikkan umur minimum yang dibenarkan secara bertahap-tahap kepada 21 tahun dalam tempoh tiga tahun.

Di bawah Akta Tembakau, sesiapa yang didapati menjual produk-produk tembakau kepada para individu di bawah usia minimum yang dibenarkan boleh didenda sehingga S$5,000 bagi kesalahan pertama, dan sehingga S$10,000 bagi kesalahan kedua atau seterusnya.

- CNA/NA/na

Top