Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebocoran data HIV: Peguam Brochez undur diri atas sebab 'perbezaan serius'

Peguam bela Mikhy Farrera Brochez, rakyat Amerika yang dituduh membocorkan data daripada daftar HIV Singapura, sudah tidak lagi mewakili anak guamnya, dengan beliau memberikan alasan bahawa terdapat 'perbezaan yang serius, tidak henti-henti dan tidak mungkin dihuraikan' antara mereka berdua.

Anggaran Waktu Membaca:
Kebocoran data HIV: Peguam Brochez undur diri atas sebab 'perbezaan serius'

Mikhy Farrera Brochez di Mahkamah Daerah Clark County. (Gambar: Chris Kenning)

Diterbitkan : 13 May 2019 09:56PM Dikemas Kini : 13 May 2019 10:06PM

SINGAPURA: Peguam bela Mikhy Farrera Brochez, rakyat Amerika yang dituduh membocorkan data daripada daftar HIV Singapura, sudah tidak lagi mewakili anak guamnya, dengan beliau memberikan alasan bahawa terdapat 'perbezaan yang serius, tidak henti-henti dan tidak mungkin dihuraikan' antara mereka berdua.

Dalam permohonannya kepada mahkamah, peguam John Oakley berkata Brochez membuat "dakwaan-dakwaan palsu mengenai janji-janji dan jaminan" oleh Encik Oakley dan Amerika Syarikat.

Brochez juga memberitahu Encik Oakley bahawa beliau "tidak berpuas hati dengan nasihat dan khidmatnya", menurut dokumen-dokumen mahkamah.

Dengan itu, Encik Oakley merasakan bahawa beliau tidak lagi berupaya untuk mewakili Brochez dengan cara yang "beretika, cekap dan profesional".

Perbicaraan melibatkan Brochez kini tertangguh.

Sesi sidang sebelum perbicaraan pada awalnya dijadual berlangsung pada 24 Apr, dengan perbicaraan juri dijadual bermula pada 7 Mei.

Namun sesi-sesi itu ditunda sehingga 17 Mei dan 3 Jun setelah Encik Oakley mengundurkan diri.

Brochez, yang pernah bekerja di Singapura sebagai seorang pensyarah politeknik, dituduh mencuri maklumat peribadi milik 14,200 orang dari daftar HIV dan kemudian mengongsi maklumat itu.

SERAH DIRI DAN MUSNAHKAN DATA: MAHKAMAH

Brochez, yang berusia 34 tahun, diarahkan oleh sebuah mahkamah di Amerika Syarikat pada Mac supaya segera menyerahkan data yang dibocorkan dan kesemua maklumat sulit lain kepada pihak berkuasa Singapura dan memadamkan kesemua catatan online dan rujukan kepada data yang dibocorkan itu.

Dia dihantar pulang ke Amerika dari Singapura pada April tahun lalu setelah menjalani hukuman penjara kerana berbohong mengenai status HIVnya untuk mendapatkan pas pekerjaan.

Brochez didakwa mengirimkan emel yang mengandungi pautan bagi pangkalan data perubatan tersebut kepada pihak media antara Jun 2018 sehingga Januari 2019.

Pada 16 Feb, Brochez juga mengirimkan senarai yang mengandungi nombor kad pengenalan 13 orang yang disahkan positif HIV kepada pihak berkuasa Singapura dan pihak media.

Dia mengancam akan membocorkan lebih banyak nama dan maklumat jika pasangannya, iaitu seorang doktor rakyat Singapura, Ler Teck Siang "tidak dibebaskan".

Sejak dihadapkan ke mahkamah pada Februari, Brochez ditahan reman di Pusat Tahanan Fayette County.

Sementara itu, rayuan pasangannya Ler pula ditolak pada Mac setelah didapati bersalah membantu Brochez untuk melakukan penipuan terhadap Kementerian Tenaga Manusia mengenai status positif HIV Brochez, dan kerana memberi keterangan palsu kepada Kementerian Kesihatan dan polis.

Ler, berusia 37 tahun, didapati bersalah tahun lalu kerana membantu Brochez dengan menghantar hasil ujian HIV ke atas darahnya sendiri dengan menggunakan nama Brochez pada 2008 dan 2013.

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan