Images
  • CPF (1)
    Gambar fail bangunan CPF. (Gambar: TODAY)

Kebanyakan permohonan dana CPF atas sebab perubatan diluluskan: MOM

SINGAPURA: Dalam tempoh tiga tahun lalu, sekitar 65 peratus permohonan untuk mengeluarkan wang daripada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) atas sebab-sebab perubatan diluluskan, menurut Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo di Parlimen pada Selasa (15 Jan).

Di bawah Skim Sebab-Sebab Perubatan, anggota CPF boleh mengeluarkan atau mula menerima agihan sebelum usia agihan yang ditetapkan iaitu 65 tahun.

Kriteria kelayakan termasuk ketidakupayaan seumur hidup, sakit tenat atau jangka hayat berkurangan secara mendadak akibat penyakit. Permohonan sedemikian perlu disertakan dengan dokumen pengesahan doktor, menurut menteri itu.

Cik Teo berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan yang diajukan Anggota Parlimen GRC Nee Soon Lee Bee Wah berhubung kadar peratusan rayuan yang diluluskan bagi pengeluaran wang CPF lebih awal.

Baki 35 peratus yang tidak berjaya adalah kerana pemohon tidak memenuhi syarat kelayakan dan dirujukkan kepada saluran bantuan lain seperti agensi Tenaga Kerja Singapura (Workforce Singapore) dan Pejabat Khidmat Sosial, kata Cik Teo.

Beliua menambah skim tersebut akan terus ditawarkan kepada anggota yang layak yang mungkin perlu mengeluarkan atau memulakan pengagihan lebih awal sebelum mencecah usia 65 tahun.

LEBIH PILIHAN KELUARKAN WANG AWAL?

Dalam soalan tambahannya Dr Lee bertanya sama ada pilihan ketiga boleh ditawarkan untuk membolehkan usia kelayakan bagi agihan diturunkan bagi sesetengah individu seperti mereka yang bersara pada usia 62 tahun dan tidak layak di bawah Skim Sebab-Sebab Perubatan.

"Apa yang mereka tidak ada adalah wang, maka mereka bertanya sama ada lembaga CPF akan menimbangkan satu lagi pilihan... Mereka sanggup menerima jumlah yang kurang tapi pada usia 62 tahun," kata Dr Lee.

Sebagai respons, Cik Teo berkata usia kelayakan pengagihan di Singapura, yang dinaikkan kepada 65 tahun mulai 2018, adalah sejajar dengan negara-negara lain. Lebih separuh daripada 35 negara anggota OECD menetapkan usia pengeluaran wang pencen pada 65 tahun ke atas, tambah beliau.

"Mengambil kira jangka hayat lebih panjang, orang-orang hidup lebih lama dan berkemungkinan mereka bekerja lebih lama. Malah, sesetengah negara sudah mula menaikkan usia pengeluaraan wang pencen," tambah beliau.

Sebagai contoh, Belanda, Denmark dan Jerman sedang dalam proses menaikkan usia pengeluaran wang pencen kepada 67 tahun.

"Berlatarbelakangkan konteks ini, kita perlu benar-benar menilai adakah wajar untuk menurunkan usia kelayakan bagi pengagihan ... terutamanya kini apabila kita mempunyai undang-undang pengambilan semula pekerja yang mewajibkan para majikan menawarkan pekerjaan sehingga 67 tahun," kata Cik Teo.

Sejak 2013, para majikan diwajibkan untuk terus menawarkan pekerjaan melepasi 62 tahun dan sehingga 65 tahun. Di kalangan mereka yang layak, lebih 98 peratus ditawarkan untuk bekerja semula.

Pada 2017, usia pengambilan semula pekerja ini dinaikkan lagi daripada 65 tahun ke 67 tahun.

Sepanjang 10 tahun lalu, kadar pengambilan pekerja di kalangan penduduk antara usia 60 hingga 64 tahun meningkat daripada 47.2 peratus pada 2008 kepada 60.4 peratus pada 2018, sebahagiannya akibat perubahan-perubahan tersebut, kata Cik Teo.

- CNA/TQ/aq

Top