Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebanyakan kes kerosakan flat baru HDB dihuraikan dalam tempoh jaminan 1 tahun: Indranee

Sebahagian besar daripada kecacatan atau kerosakan yang dilaporkan pemilik flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dihuraikan dalam tahun pertama. Oleh itu tempoh jaminan setahun cukup bagi sebilangan besar pemilik rumah, kata Menteri Kedua Pembangunan Negara Indranee Rajah di Parlimen pada Selasa (6 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Kebanyakan kes kerosakan flat baru HDB dihuraikan dalam tempoh jaminan 1 tahun: Indranee

Gambar fail BTO HDB yang sedang dibina. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 06 Oct 2020 06:20PM Dikemas Kini : 06 Oct 2020 06:22PM

SINGAPURA: Sebahagian besar daripada kecacatan atau kerosakan yang dilaporkan pemilik flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dihuraikan dalam tahun pertama. Oleh itu tempoh jaminan setahun cukup bagi sebilangan besar pemilik rumah, kata Menteri Kedua Pembangunan Negara Indranee Rajah di Parlimen pada Selasa (6 Okt).

Kontraktor bangunan akan membaiki masalah yang timbul semasa tempoh jaminan selama setahun sejajar dengan amalan industri bagi projek-projek pembangunan privet, kata Cik Indranee.

Bagi flat BTO yang melaporkan masalah penyenggaraan setelah tempoh setahun, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menyiasat puncanya dan memberi nasihat kepada pemilik flat mengenai tindakan susulan.

"Sekiranya masalah tersebut dinilai disebabkan oleh masalah kecacatan atau mutu dari awal projek, HDB akan mendapatkan khidmat kontraktor bangunan untuk memperbaikinya," tambah Cik Indranee.

Beliau menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Vikram Nair mengenai jumlah kes kecacatan dan kerosakan yang dilaporkan dalam flat BTO dan sama ada HDB akan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh jaminan kecacatan.

Berdasarkan flat BTO yang disiap dalam tempoh lima tahun lalu, 90 peratus kecacatan dilaporkan dalam tempoh jaminan satu tahun, kata Cik Indranee, dengan baki 10 peratus dilaporkan pada tahun kedua hingga kelima setelah flat siap.

"Oleh kerana kebanyakan kecacatan dalam flat dihuraikan dalam tahun pertama, DLP satu tahun (tempoh jaminan kecacatan) cukup bagi kebanyakan pemilik flat baru, dan bersesuaian dengan amalan industri bagi pembangunan swasta," katanya.

Jumlah kecacatan yang dilaporkan bagi setiap flat BTO adalah sekitar 2.6 pada tahun pertama, tambahnya, dengan jumlah merosot dengan "ketara" menjadi 0.2 setelah tahun pertama.Jumlah kes kecacatan yang dilaporkan adalah 0.1 selepas tahun kedua dan 0.05 setelah tahun ketiga.

"Sebilangan besar kecacatan yang dilaporkan melibatkan masalah seperti calar atau rekahan pada permukaan kayu, dinding, jubin dan kelengkapan tandas. Ini mudah diperbaiki oleh kontraktor, dan tidak menjejaskan keutuhan struktur atau keselamatan bangunan, ”kata Cik Indranee.

HDB juga memberi jaminan lima tahun bagi masalah kelembapan pada dinding luar atau antara lantai, dan jaminan 10 tahun bagi konkrit siling yang merekah, tambahnya.

Sumber : CNA/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan