Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebakaran di St Regis Residences: 1 cedera, penghuni lain dipindahkan

Seorang penghuni di St Regis Residences cedera manakala yang lain pula dipindahkan selepas bangunan di Tanglin itu terbakar pada lewat malam semalam (20 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran di St Regis Residences: 1 cedera, penghuni lain dipindahkan

Penghuni dari lebih 170 unit terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat kebakaran di St Regis Residences, Tanglin Road. (Gambar: bryanchowsg/Instagram)

Diterbitkan : 21 Feb 2019 07:43AM Dikemas Kini : 21 Feb 2019 10:14AM

SINGAPURA: Seorang penghuni di St Regis Residences cedera manakala yang lain pula dipindahkan selepas bangunan di Tanglin itu terbakar pada lewat malam semalam (20 Feb).

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya menerima beberapa aduan mengenai kebakaran di bangunan di 33 Tanglin Road itu dan memberi respons kepada insiden berkenaan pada pukul 11.30 malam.

"Apabila SCDF tiba di tempat kejadian, pihak pengurusan bangunan sudahpun mula memindahkan para penghuni," menurutnya.

Kebakaran itu melibatkan barang-barang di dalam sebuah bilik tidur di sebuah unit yang terletak di tingkat 12, menurut SCDF sambil menambah bahawa ia menggunakan satu jet air dan hos untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Seorang penghuni yang tinggal di tingkat 12 dibawa keluar dari bangunan itu oleh anggota SCDF dan kemudian dihantar ke Hospital Besar Singapura (SGH) akibat terhidu asap.

Para penghuni yang lain pula terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat kebakaran tersebut.

Seorang penduduk yang berjaya keluar dari rumahnya memberitahu Mediacorp bahawa keadaan 'amat sesak', 'kecoh' dan 'penuh dengan asap tebal'.

"Saya tidak lihat sesetengah jiran saya. Saya khuatir mereka mungkin masih lagi berada di dalam rumah mereka," katanya, sambil menambah bahawa lif di dalam bangunan itu juga dimatikan buat sementara waktu.

Gillian Tan, seorang lagi penduduk, bagaimanapun berkata proses pemindahan dijalankan dengan lancar dan situasi juga dikawal dengan baik.

Menurut Cik Tan, mereka dipindahkan pada pukul 11.30 malam sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada sekitar 2.00 pagi.

Pihak pengurusan bangunan berkenaan memindahkan para penghuni ke ruang lobi hotel St Regis, yang terletak bersebelahan bangunan kediaman itu, pada sekitar 1.00 pagi, dengan para penghuni diberikan minuman dan bantal. Mereka yang basah kuyup kerana pemercik api dan hos juga diberikan tuala dan selipar.

Menurut SCDF, punca kebakaran sedang disiasat.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan