Images
  • sgh
    Hospital Besar Singapura. (Gambar: Wee Teck Hian/TODAY)

Kebakaran di SGH; 70 orang dipindahkan

SINGAPURA: Satu kebakaran berlaku di Hospital Besar Singapura (SGH) pada Isnin (19 Ogos) petang, menyebabkan 70 orang - termasuk para pesakit dan kakitangan - dipindahkan.

Penggera pengesan asap di besmen 1 Blok 2 diaktifkan pada pukul 1.50 tengah hari, menurut SGH sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

Kebakaran kecil itu, yang melibatkan sebuah komponen elektrik - terpadam dengan sendirinya sebelum anggota bomba tiba, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) kepada Mediacorp.

"Memandangkan masih terdapat asap, sebagai langkah keselamatan, SCDF memindahkan sekitar 70 orang dari premis itu. Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran sedang disiasat," menurut SCDF.

Mereka dipindahkan "hanya atas sebab-sebab keselamatan dan tahap waspada tinggi", kata ketua pegawai operasi SGH, Tan Jack Thiam.

"Tiada siapa berada dalam bahaya pada bila-bila masa," katanya, sambil menambah bahawa pasukan tindak balas SGH tiba di tempat kejadian dalam masa beberapa minit selepas penggera berbunyi.

Encik Tan berkata, siasatan awal mendapati bahawa komponen elektrik di dalam sebuah alat pengimbas menjadi terlalu panas dan mula mengeluarkan asap.

Alat pengimbas tersebut dimatikan dengan segera.

SGH mengaturkan untuk para pesakit melakukan imbasan menggunakan pengimbas lain di jabatan itu selepas kawasan itu bebas asap dan SCDF memberi kebenaran untuk orang ramai kembali ke premis tersebut.

"Ia tidak menimbulkan banyak gangguan kepada khidmat kami," kata Encik Tan, sambil menambah bahawa pihak hospital telah mengaturkan untuk mengubah jadual imbasan beberapa pesakit.

"Kami memohon maaf atas insiden ini," kata Encik Tan.

- CNA/TQ/tq

Top