Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kebakaran Bukit Batok: Gelung hos tiada bekalan air kerana suis pam dalam mod salah

Anggota bomba daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tidak dapat mengakses bekalan air dalam gelung hos di Blok 210A Bukit Batok Street 21 bulan lalu kerana salah satu daripada suisnya berada pada keadaan manual dan bukan automatik.

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran Bukit Batok: Gelung hos tiada bekalan air kerana suis pam dalam mod salah

Kebakaran yang berlaku di flat Bukit Batok pada 1 Nov 2019. (Gambar: Facebook/SCDF)

Diterbitkan : 03 Dec 2019 08:51AM Dikemas Kini : 03 Dec 2019 08:55AM

SINGAPURA: Anggota bomba daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tidak dapat mengakses bekalan air dalam gelung hos di Blok 210A Bukit Batok Street 21 bulan lalu kerana salah satu daripada suisnya berada pada keadaan manual dan bukan automatik.

Majlis Bandaran Jurong-Clementi (JCTC) pada Isnin (2 Dis) mendedahkan hasil dapatannya setelah satu siasatan dilakukan berkenaan kejadian itu, sambil menyatakan syarikat kontraktor yang bertanggungjawab menyenggara gelung hos itu, J Keart Alliances (JKeart) "lalai dalam kegagalannya memastikan suis pemilihan di bilik pam" berada dalam mod yang betul.

Kenyataan bertandatangan diberikan oleh JKeart kepada JCTC sebelum ini yang menegaskan bahawa gelung hos itu berada dalam keadaan berfungsi juga tidak benar, menurut catatan Facebook majlis bandaran tersebut.

Pada 9 Nov lalu, SCDF menyatakan ia memberi amaran kepada JCTC setelah pasukan bomba yang dikerah untuk memadamkan kebakaran di sebuah flat HDB mendapati kabinet gelung hos dikunci dan bekalan air terputus. Tiga orang cedera dalam kebakaran itu.

Pada 13 Nov, JCTC menyatakan gelung-gelung hos itu kali terakhir disenggara dan diuji oleh seorang kontraktor yang dilantik pada 14 Okt 2019 dan disahkan berada dalam keadaan berfungsi.

Dalam dapatannya pada Isnin, JCTC menyatakan rakaman CCTV menunjukkan seorang kakitangan JKeart memasuki bilik pam beberapa jam setelah kebakaran berlaku pada 1 Nov. Apabila disoal, kakitangan itu mengaku beliau menghidupkan semula suis bekalan air selepas kebakaran itu.

Kakitangan JKeart menukar suis pemilihan pada keadaan manual semasa penyenggaraan berjadual dijalankan dua minggu sebelum kebakaran itu dan beliau terlupa untuk menukar suis itu kembali pada keadaan automatik, kata JCTC.

Bekalan air kepada gelung hos terpotong apabila suis itu berada pada mod manual.

"Kegagalan itu menyebabkan sistem gelung hos di Blok 210A tidak mempunyai bekalan air pada masa pegawai SCDF melakukan operasi memadam kebakaran," kata JCTC.

"JKeart, setelah meninjau semula perkara itu bersama kakitangan itu, memaklumkan JCTC bahawa laporan awalnya yang menegaskan bahawa terdapat bekalan air dalam gelung hos pada hari kebakaran itu berlaku adalah tidak benar," tambahnya.

JCTC akan mengeluarkan notis gagal menjalankan tugas kepada JKeart bagi mempertanggungjawabkannya ke atas kegagalan syarikat itu memenuhi kontraknya untuk memastikan sistem gelung hos itu sedia beroperasi.

JKeart turut memaklum JCTC bahawa ia telah mengambil "tindakan sewajarnya" terhadap kakitangan itu, yang akan diberi tugasan lain, menurut majlis bandaran tersebut.

"Satu kesilapan" mengunci gelung hos: JCTC

Dalam hasil dapatannya, JCTC menyatakan keputusan mengunci kabinet gelung hos dilakukan oleh seorang pegawai hartanah menyusuli perbuatan "merosakkan harta benda secara kerap" terhadap kabinet-kabinet demikian.

"Ia satu kesilapan, kerana ia bermakna kabinet itu hanya boleh dibuka secara paksa semasa kecemasan, seperti yang dilakukan oleh SCDF semasa insiden kebakaran itu baru-baru ini," tambah majlis bandaran itu.

Dalam catatan Facebook, JCTC menyatakan pegawai hartanah itu "akan dipindahkan ke tugas lain". Dua pegawai kanan yang bertindak sebagai penyelia bagi pegawai itu juga akan dikenakan tindakan.

JCTC juga menyatakan ia telah memeriksa gelung-gelung hos, alat pemadam api dan peralatan keselamatan kebakaran yang lain di tujuh kawasan bagi memastikan ia dalam keadaan berfungsi.

Sedang hampir kesemua sistem gelung hos berada dalam keadaan beroperasi, banyak kabinet dan peralatan lain rosak akibat perbuatan merosakkan harta benda, menurut JCTC, sambil menyatakan ia sedang mengambil "langkah segera" bagi memperbaiki dan menggantikan barangan tersebut.

"JCTC tidak akan teragak-agak untuk membawa isu berkaitan individu merosakkan dan menyalahguna peralatan keselamatan kebakaran kepada pihak berkuasa untuk siasatan,"

"JCTC juga sedang meninjau langkah lain bagi mengurangkan berlaku perbuatan merosakkan harta benda di masa hadapan, termasuk menukar reka bentuk kabinet gelung hos dan alat pemadam api serta mekanisme menguncinya," menurut JCTC.

Majlis bandaran itu juga menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada penasihat bandar dilantik iaitu Encik Ang Wei Neng sebagai pengerusi serta Dr Tan Wu Meng dan Encik Murali Pillai untuk menyarankan langkah-langkah bagi memastikan keandalan peralatan kecemasan kebakaran.

Jawatankuasa itu akan melibatkan pakar-pakar bebas dan para penduduk sebelum melakarkan saranan bagi langkah-langkah pembetulan dan pencegahan di masa hadapan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan