Images
  • amk hdb corridor
    Koridor blok di Ang Mo Kio yang sudah dicat semula susuli kebakaran besar (Gambar: Facebook/HDB)

Kebakaran Ang Mo Kio: Lebih separuh penduduk terjejas sudah pulang

SINGAPURA: Lebih daripada separuh keluarga yang terjejas akibat kebakaran besar di Ang Mo Kio Central sudah pulang ke rumah masing-masing, hampir seminggu selepas kejadian tersebut, menurut HDB.

Pada 5 Jul, tingkat bawah Blok 720 di Ang Mo Kio Avenue 6 dijilat api, menyebabkan para penduduk serta kanak-kanak dari pusat pendidikan berdekatan diarah pindah.

Dalam satu catatan Facebook pada Rabu (10 Jul), HDB menyatakan penduduk dari 16 daripada 28 rumah terjejas kebakaran sudah pulang ke rumah masing-masing. Tambahnya khidmat seperti gas, air, bekalan elektrik dan rangkaian gentian sudah dipulihkan.

12 keluarga lagi yang belum pulang, 10 daripadanya menumpang di rumah kenalan dan sanak saudara manakala dua lagi menetap di tempat tinggal sementara yang disediakan HDB.

Majlis Bandaran Ang Mo Kio juga sudah menyelesaikan kebanyakan kerja-kerja pembaikan di koridor, menurut Anggota Parlimen (AP) Ang Mo Kio, Dr Koh Poh Koon.

"HDB juga memberi saya jaminan pihaknya akan terus menyokong para penduduk yang paling terjejas sedang mereka kembali hidup seperti biasa dalam tempoh beberapa bulan ini," kata beliau dalam satu catatan Facebook pada Khamis. Beliau juga menarik perhatian bahawa agensi-agensi terbabit memberikan "respons pantas" dalam membantu penduduk terjejas.

Punca kebakaran besar yang memerlukan hampir 20 kenderaan kecemasan dan belasan anggota bomba untuk memadamnya, masih sedang disiasat.

- CNA/TQ/tq

Top