Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keandalan khidmat kereta api lebih baik pada 2018: Khaw Boon Wan

Rangkaian kereta api Singapura sedang menepati sasaran keandalannya seperti yang dilihat daripada peningkatan mutu khidmat kereta api tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada Jumaat (2 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Nov 2018 04:48PM Dikemas Kini : 03 Nov 2018 12:14AM

SINGAPURA: Rangkaian kereta api Singapura sedang menepati sasaran keandalannya seperti yang dilihat daripada peningkatan mutu khidmat kereta api tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan pada Jumaat (2 Nov).

Bercakap di Forum Bersama mengenai Penyenggaraan Prasarana yang ketujuh, Encik Khaw berkata kereta api MRT mencatat jarak perjalanan sejauh 661,000 kilometer sepanjang tiga suku pertama tahun ini.

Pada 2017, jarak perjalanan yang dicatatkan adalah 180,000 kilometer.

Pada tahun lalu, satu sasaran keandalan kereta api baru menetapkan kereta api patut mencatat perjalanan sejauh sejuta kilometer sebelum satu gangguan melebihi lima minit.

Laluan Downtown dan Laluan Timur Laut yang kedua-duanya dikendalikan oleh SBS Transit sudahpun menepati sasaran tersebut.

Encik Khaw berkata beliau "yakin" bahawa Laluan Circle dan Laluan Utara-Selatan yang dikendalikan oleh SMRT juga akan menepati sasaran itu, kerana pasukan-pasukan sudahpun "melakukan banyak usaha dan mencapai peningkatan ketara sejak beberapa tahun lalu."

Beliau berkata: "Laluan Timur-Barat juga akan mencapai sasaran itu."

Untuk mencapai keandalan kereta api buat jangka panjang, Encik Khaw berkata pihak berkuasa pengangkutan sedang berusaha untuk menjalin hubungan jangka panjang dengan syarikat-syarikat kejuruteraan dan pengilang peralatan yang menyediakan khidmat bagi kereta api di Singapura.

Ini termasuk rakan-rakan syarikat kejuruteraan seperti Alstom, Bombardier, Siemens dan Thales.

Encik Khaw berkata perkongsian jangka panjang akan membuka peluang bagi perniagaan selain pekerjaan untuk para jurutera.

PROJEK PENGISYARATAN SELESAI

Encik Khaw juga mengumumkan bahawa laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat (NSEWL) sudah selesai menjalani peralihan kepada sistem isyarat kawalan kereta api berdasarkan komunikasi (CBTC).

Kerja-kerja memasang sistem isyarat baru di Laluan Timur-Barat bermula pada lewat bulan Mei.

Dengan itu, tiga projek pembaharuan aset jangka panjang bagi meningkatkan keandalan NSEWL sudahpun selesai dijalankan. Ini termasuk kerja-kerja menggantikan kayu landasan dan rel ketiga.

Encik Khaw bagaimanapun berkata misi itu "masih belum selesai" kerana terdapat tiga lagi aspek yang harus diperbaharui iaitu bekalan tenaga, litar landasan dan kereta api generasi pertama.

"Sebarang kelemahan dalam pelaksanaan kerja-kerja itu boleh menyebabkan kami hilang keyakinan orang awam yang sudah sedaya-upaya kami berusaha untuk kembalikan," kata beliau. "Oleh itu, kami harus menumpukan perhatian terhadap misi kami, untuk menyediakan khidmat kereta api yang selamat dan andal."

Encik Khaw berkata projek pembaharuan tenaga melibatkan penggantian kabel tenaga sepanjang 1,300 kilometer, kabel gentian optik sepanjang 250 kilometer, 206 transformer kuasa, 172 papan suis dan 171 stesen penjana kuasa kecil.

Sebelum ini, Bombardier diumumkan akan menggantikan 66 kereta api generasi pertama NSEWL mulai tahun 2021.

Yang penting kata Encik Khaw adalah mengekalkan keandalan khidmat kereta api setelah ia mencapai piawai mutu yang boleh diterima. 

Sumber : CNA/AI/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan