Kayak milik 2 warga S'pura yang hilang ditemui pada hari ke-5 pencarian
Kayak dimiliki dua warga Singapura yang hilang dekat Mersing di Johor lima hari lalu sudah ditemui, kata anak lelaki kepada salah seorang yang dicari itu.
SINGAPURA: Kayak dimiliki dua warga Singapura yang hilang dekat Mersing di Johor lima hari lalu sudah ditemui, kata anak lelaki kepada salah seorang yang dicari itu.
Encik Tan Eng Soon, 52 dan Cik Puah Geok Tin, 64, terpisah daripada sekumpulan 13 warga Singapura lain semasa mendayung kayak dekat kepulauan Endau pada Khamis.
Pasangan itu dipercayai terpisah daripada yang lain kerana laut bergelora dan angin kencang.
Dalam satu catatan Instagram pada Selasa (13 Ogos), anak lelaki Cik Puah berkata seorang nelayan tempatan di Kuantan menermui kayak berserta barang-barang milik Cik Puah dan Encik Tan, temasuk telefon bimbit Encik Tan.
Nelayan itu kemudian menggunakan telefon bimbit Encik Tan untuk menghantar pesanan kepada ahli keluarganya.
"Kami memaklumkan pihak berkuasa tempatan dengan serta-merta," kata Encik Pang menerusi catatannya.
"Mereka kini sedang berhubung dengan nelayan itu di Kuantan. Tiada sesiapa ditemui dalam bot (kayak), hanya barang-barang," tambah Encik Pang. Kuantan terletak sekitar 160 kilometer dari Endau.
Tambah beliau, polis laut Malaysia juga sedang mendapatkan maklumat dari nelayan tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat bagi kedua-dua warga Singapura yang hilang itu memasuki hari kelima pada Selasa, dengan 122 kakitangan dari pelbagai agensi dikerahkan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) zon Mersing, Haris Fadzillah Abdullah berkata operasi itu membabitkan penggunaan tiga aset udara APMM dan sebuah aset udara Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Selain itu, operasi turut membabitkan sembilan aset laut yang terdiri daripada sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sebuah kapal dan tiga bot APMM, dua bot PDRM serta dua bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Encik Haris berkata kawasan pencarian menerusi udara kekal 900 batu nautika meliputi timur dan utara Pulau Tioman di Pahang sementara pencarian di laut meliputi 600 batu nautika dari timur Rompin sehingga utara Pulau Tioman.
Beliau berkata para nelayan dan penduduk di pulau berdekatan juga sedang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.