Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kawasan tanah Kranji diperuntukkan bagi Taman Inovasi Agro-Makanan 'silap' ditebang: JTC

Beberapa bidang tanah yang diperuntukkan untuk pembangunan Taman Inovasi Agro-Makanan di Kranji "silap" ditebang sebelum satu kajian yang diselenggarakan selesai dijalankan dan "amaran tegas" telah dikeluarkan kepada kontraktor yang terlibat, dedah JTC Corp pada Selasa (16 Feb)

Anggaran Waktu Membaca:
Kawasan tanah Kranji diperuntukkan bagi Taman Inovasi Agro-Makanan 'silap' ditebang: JTC

Kawasan di Kranji yang 'tersilap' ditebang (Gambar: Facebook/Brice Li)

Diterbitkan : 17 Feb 2021 08:37AM Dikemas Kini : 17 Feb 2021 08:40AM

SINGAPURA: Beberapa bidang tanah yang diperuntukkan untuk pembangunan Taman Inovasi Agro-Makanan di Kranji "silap" ditebang sebelum satu kajian yang diselenggarakan selesai dijalankan dan "amaran tegas" telah dikeluarkan kepada kontraktor yang terlibat, dedah JTC Corp pada Selasa (16 Feb)

Dalam satu kenyataan, JTC merujuk kepada kiriman-kiriman media sosial mengenai pembersihan tapak tanah di Kranji Road dan Kranji Close, dan menyatakan bahawa kawasan yang ditebang itu diperuntukkan untuk pembangunan Taman Inovasi Agro-Makanan.

Taman Inovasi Agro-Makanan adalah sebahagian daripada Kawasan Eko Sungei Kadut. Tanah seluas sekitar 18 hektar telah diperuntukkan untuk fasa pertama pembangunan bagi Taman Inovasi Agro-Makanan di kawasan itu. Ia akan digunakan untuk proses penyelidikan dan pengembangan, pelaksanaan prototaip dan operasi pertanian berteknologi tinggi seperti pertanian dalam bangunan dan pembiakan akuakultur.

Sebagai sebahagian daripada persiapan JTC untuk membangunkan Taman Inovasi Agro-Makanan, pihaknya telah melibatkan pakar alam sekitar untuk melakukan kajian dasar kepelbagaian bio pada Disember tahun lalu, dan untuk menyusun rancangan pemantauan dan pengurusan sekitaran untuk bidang-bidang tanah tertentu di kawasan itu, jelasnya.

Kajian dan rancangan itu dijangka selesai pada sekitar April. Selepas itu JTC akan melibatkan pihak-pihak berkepentingan utama, termasuk kumpulan-kumpulan pencinta alam sekitar, untuk membincangkan rancangan pembangunan, katanya.

Namun pada 13 Januari, JTC mendapati semasa satu pemeriksaan tapak bahawa kontraktornya telah silap menebang beberapa bidang tanah sebelum kajian dasar dan rancangan pemantauan sekitaran untuk kawasan-kawasan tersebut selesai katanya.

"Menyusuli penemuan ini, JTC mengarahkan kontraktor itu untuk menghentikan semua kerja-kerja penebangan dengan segera. Sejak itu, tiada kerja lanjut untuk membersihkan tanah dan kontraktor telah diberi amaran tegas," katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, kontraktor Huationg menyatakan bahawa pihaknya telah mematuhi arahan JTC untuk menghentikan semua kerja-kerja penebangan.

"Kami meminta maaf kerana silap membersihkan tapak tanah dan sedang bekerja dengan JTC dalam siasatan yang sedang dijalankan untuk menentukan penyebab kesilapan ini, serta untuk mencegah kejadian serupa di masa depan," kata Huationg.

Syarikat itu juga sedang melakukan siasatan dalaman dan bekerjasama dengan JTC untuk memperkukuhkan proses pengurusan projeknya, tambahnya.

JTC menyatakan pihaknya "memandang serius kejadian ini" dan sedang menyiasat bagaimana kesilapan itu berlaku sebelum memutuskan sama ada langkah-langkah hukuman selanjutnya perlu diambil.

"Memandang ke depan, JTC akan meneruskan kajian dasar dan rancangan pemantauan dan pengurusan alam sekitar dan akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang berkenaan, termasuk URA, NParks, kumpulan pencinta alam sekitar dan masyarakat, untuk memastikan bahawa rancangan pembangunan semula Kawasan Eko Sungei Kadut dilaksanakan melalui perundingan sewajarnya dan dengan cara yang bertanggungjawab dan peka terhadap alam sekitar," katanya.

Dapatan kajian itu akan dibuka kepada umum apabila siap, tambahnya.

Pada Isnin, Persatuan Alam Sekitar Singapura berkongsi catatan di Facebook yang menunjukkan bidang-bidang tanah yang ditebang.

"Ini adalah perkembangan yang mengejutkan dan teruk di kawasan hijau yang penting yang terhubung dengan Rel Koridor," kata Persatuan Alam Sekitar Singapura, merujuk kepada petikan gambar dari udara di kawasan itu yang diambil pada Mei 2019 dan Februari 2021.

Kawasan Eko Sungei Kadut adalah sebahagian daripada Koridor Agro-Teknologi dan Makanan Utara dan merupakan salah sebuah pusat yang akan dihubungkan melalui Koridor Rel 24 kilometer. Tapak tanah terletak 15m hingga 20m ke kiri dan kanan Rel Koridor itu telah "dilindungi untuk melindungi kepelbagaian bio dalam kawasan hutan sedia ada", kata JTC.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan