Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kata Paderi Yang kepada Lou Engle: "Apa yang anda katakan menimbulkan banyak masalah kepada kami"

Pengasas Gereja Masyarakat Cornerstone (CSCC), Paderi Kanan Yang Tuck Yoong mengakui, pihaknya tidak melakukan usaha wajar (due diligence) sebagaimana yang perlu dalam isu membabitkan pendakwah Amerika Syarikat, Lou Engle. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kata Paderi Yang kepada Lou Engle: "Apa yang anda katakan menimbulkan banyak masalah kepada kami"

Paderi Kanan Yang Tuck Yoong ketika ditemui di sebuah pertemuan di MUIS.

SINGAPURA: Pengasas Gereja Masyarakat Cornerstone (CSCC), Paderi Kanan Yang Tuck Yoong mengakui, pihaknya tidak melakukan usaha wajar (due diligence) sebagaimana yang perlu dalam isu membabitkan pendakwah Amerika Syarikat, Lou Engle.

Paderi Kanan Yang akur bahawa pihaknya "seharusnya lebih ketat" melakukan pemeriksaan. Ini setelah pendakwah luar negara itu mengeluarkan komen-komen anti-Islam dalam satu ceramahnya di Singapura bulan lalu.

"Kami seharusnya melakukan lebih untuk memeriksa lebih banyak lagi tentang latar belakang beliau," ujar Paderi Kanan Yang.

Untuk memastikan insiden yang serupa tidak akan berlaku pada masa hadapan, Paderi Kanan Yang menekankan bahawa pihak gerejanya akan perlu "amat berhati-hati" dalam mengundang para penceramah asing dan menolak "sesiapa yang mempunyai sejarah yang mengatakan apa-apa yang buruk tentang sebarang agama," tegas beliau.

ANTARA KESILAPAN YANG LAKUKAN

Di antara langkah yang diambil oleh pihaknya termasuk melungsuri Internet dan mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang pendakwah yang akan diundang dan pendirian pendakwah tersebut.

Paderi Kanan Yang menambah, disebabkan oleh "kesilapan", pihaknya tidak membacakan 'nasihat' kepada Encik Engle tentang apa yang tidak boleh beliau ucapkan.

"Kami selalunya menerapkan perkara ini kepada para penceramah, bahawa di Singapura, anda tidak boleh bercakap menentang agama-agama lain, anda tidak boleh bercakap menentang Pemerintah - dan mereka tahu tentang perkara ini," tegas Paderi Kanan Yang.

Penjelasan Paderi Yang itu disampaikan dalam satu sidang media selepas pertemuan antara beliau dengan 13 pemimpin Melayu/Islam setempat yang bertempat di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) malam ini tadi (4 April).

Di dalam pertemuan tersebut Encik Yang meminta maaf atas insiden yang berlaku:

"Kami datang untuk meminta maaf dan untuk memperbetulkan keadaan di antara masyarakat. Kami faham bahawa kenyataan (Encik Engle) boleh menyakitkan hati ramai orang. Kami kecewa dengan kenyataannya," ujar Paderi tersebut.

AKAN LAKSANA TANDA TANGANI DOKUMEN UNDANG-UNDANG

Menjawab pertanyaan pihak media sama ada Encik Engle sedar tentang kesalahan yang dilakukannya itu, Paderi Kanan Yang berkata beliau sudah menelefon dan memberitahu Encik Engle tentang akibat kenyatannya itu.

"Saya kata: 'Encik Engle, apa yang anda katakan menimbulkan banyak masalah kepada kami dan mungkin anda tidak boleh kembali ke Singapura'. Dia (Encik Engle) menerimanya," tambah Paderi Yang.

Kini, gereja tersebut akan melaksanakan satu lagi langkah keselamatan.

"Kami juga akan memastikan mereka menandatangani dokumen undang-undang bahawa mereka tidak akan melakukan semua itu (tidak bercakap tentang perkara yang tidak dibolehkan)," tambahnya.

Encik Yang menekankan protokol dan proses yang akan diperketatkan itu adalah penting bagi memastikan keharmonian masyarakat Singapura.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan