Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Kata-kata tidak cukup untuk ungkapkan penghargaan': Lawrence Wong sebak iktiraf sumbangan rakyat perangi COVID-19

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong menitiskan air mata di Parlimen pada Rabu (25 Mac) semasa meluahkan penghargaannya kepada para pekerja jagaan kesihatan dan rakyat Singapura atas sumbangan mereka dalam usaha memerangi penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
'Kata-kata tidak cukup untuk ungkapkan penghargaan': Lawrence Wong sebak iktiraf sumbangan rakyat perangi COVID-19

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 26 Mar 2020 10:17AM Dikemas Kini : 26 Mar 2020 10:20AM

SINGAPURA: Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong menitiskan air mata di Parlimen pada Rabu (25 Mac) semasa meluahkan penghargaannya kepada para pekerja jagaan kesihatan dan rakyat Singapura atas sumbangan mereka dalam usaha memerangi penularan COVID-19.

Encik Wong yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian bagi COVID-19, ketika itu sedang menyampaikan kenyataan menteri untuk memberikan kemas kini mengenai langkah-langkah bagi mengetatkan kawalan sempadan baru-baru ini dan langkah-langkah lebih tegas bagi mencegah daripada berlakunya lebih banyak lagi jangkitan tempatan.

Di akhir ucapan selama 30 minit itu, Encik Wong menarik perhatian bagaimana "sifat terpuji rakyat Singapura" ditonjolkan semasa detik sukar ini dan ketika itulah beliau berasa sebak.

Beliau menukil contoh bagaimana para sukarelawan Pasukan Belia Singapura berkunjung dari rumah ke rumah golongan warga emas untuk mengongsikan tips-tips kebersihan diri dan keselamatan.

Pertubuhan-pertubuhan lain termasuk Palang Merah Singapura juga meningkatkan usaha mendampingi golongan warga tua sementara beberapa individu lain pula menyediakan pek-pek jagaan berisi barangan keperluan seperti pelitup dan sanitiser tangan untuk didermakan kepada golongan yang mudah terjejas.

Sementara itu, para pekerja jagaan kesihatan di barisan hadapan banyak berkorban sedang mereka bekerja keras bagi menjaga para pesakit.

Menurut Encik Wong, para pegawai perkhidmatan awam daripadapelbagai agensi pemerintah juga bekerja sepanjang waktu untuk menghasilkan maklumat dan risalah mengenai langkah-langkah baru dan memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lancar.

Kumpulan-kumpulan ini "bekerja keras" memerangi penularan virus ini, kata Encik Wong.

"Tidak semua yang mereka lakukan dapat dilihat oleh orang ramai tetapi saya boleh katakan mereka bekerja sepanjang waktu dan ia menakjubkan untuk melihat apa yang telah mereka capai, terutama sekali dalam waktu yang mencabar dan terdesak," katanya.

"Dari semasa ke semasa, akan ada maklum balas (dan) aduan orang awam. Mereka cekal menghadapinya," ujar beliau lagi.

"Jika terdapat sebarang kelemahan, mereka akan cuba memperbetulkannya dengan sedaya upaya dan secepat mungkin dan saya berharap orang awam dapat memberikan kerjasama."

Encik Wong juga menarik perhatian kepada 'wira-wira yang tidak disanjung' dalam industri-industri seperti pembersihan, keselamatan, pengurusan lapangan terbang, media, hotel, makanan dan minuman (F&B), pengangkutan yang menawarkan perkhidmatan kepada rakyat Singapura.

"(Mereka masih) cekal hati melakukan tugas masing-masing dan mempunyai semangat yang sangat kental," kata Encik Wong.

"Terdapat ramai rakyat Singapura yang tampil untuk menghulurkan bantuan antara satu sama lain dan menjaga rakyat Singapura yang lain. Kata-kata tidak cukup untuk meluahkan penghargaan kepada ..." kata Encik Wong sebelum beliau mula berasa sebak dan tidak dapat menghabiskan ayatnya.

Beliau berhenti seketika untuk meneguk air dan cuba menghabiskan ayatnya tetapi tidak dapat berbuat demikian.

Meskipun masih terkesan, Encik Wong cuba menenangkan diri.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu kemudian menghulurkan sehelai tisu kepadanya lalu beliau menanggalkan kaca mata untuk mengesat air matanya.

Encik Wong meneguk air lagi sebelum berkata "tolong berikan saya seminit".

Setelah menenangkan diri, beliau berkata: "Kata-kata tidak cukup untuk meluahkan penghargaan kita kepada ramai rakyat Singapura yang telah berjuang untuk memerangi virus ini.

"Dan saya hanya mahu memberikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua orang yang telah memainkan peranan mereka," katanya dengan nada yang penuh sebak.

Beliau kemudian berkata Singapura "hanya berada pada permulaan satu perjuangan yang panjang" terhadap COVID-19, yang mungkin berlarutan selama beberapa bulan lagi hingga hujung tahun ini atau menjangkaui tempoh tersebut.

Beliau turut menarik perhatian kepada ketidaktentuan, keprihatinan dan kebimbangan yang meningkat dalam kalangan rakyat Singapura, namun beliau menyeru orang ramai supaya sama-sama "bangkit dan bersatu dalam mengatasi cabaran ini".

"Sebagai SG United, kita mampu melawan virus ini bersama dan kita akan bangkit lebih teguh dan jitu selepas krisis ini," kata Encik Wong.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan