Images
  • aloysius
    (Gambar: Najeer Yusof/TODAY)

Kata-kata terakhir pelakon Aloysius Pang kepada ibunya

SINGAPURA: "Ibu, jangan menangis. Jika ibu menangis, saya akan menangis juga. Saya akan sembuh dalam beberapa hari, kemudian akan membawa ibu berjalan-jalan di kasino New Zealand.

Itulah kata-kata terakhir Aloysius Pang kepada ibunya, seperti diimbas kembali oleh abang Aloysius, Encik Jefferson Pang semasa menyampaikan eulogi di acara memperingati mendiang pada Ahad (27 Jan).

Korporal Kelas Pertama (Perkhidmatan Negara) Pang meninggal dunia pada 23 Jan, empat hari setelah mengalami kecederaan parah akibat satu kemalangan yanng berlaku semasa menjalani latihan kerahan di New Zealand.

Beliau mengalami kecederaan pada organ-organnya akibat terhimpit di antara bahagian hujung laras dengan bahagian dalam meriam gerak sendiri jenis Howitzer pada 19 Jan.

Upacara memperingati mendiang bermula pada jam 1.30 tengah hari pada Ahad. Selain Encik Jefferson Pang, para pelakon Chen Shucheng, Desmond Tan, Felicia Chin, Hong Huifang dan Kym Ng turut menyampaikan eulogi.

Acara itu dijadualkan berakhir pada 3.15 petang, apabila para kakitangan tentera akan mengambil alih prosiding bagi upacara persemadian istiadat tentera mendiang Aloysius Pang.

Kenderaan yang membawa jenazah Aloysius Pang meninggalkan tempat upacara peringatan di 82A Macpherson Lane menuju Krematorium Mandai pada jam 3.30 petang.

Upacara persemadiannya dijadualkan pada jam 5.00 petang.

- CNA/NA/na

Top