Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kasut cetakan 3D rawat burung lanjut usia hidapi sakit kaki

Kalau 'kaki ayam' bermaksud tidak berkasut, kaki dua ekor burung di Taman Burung Jurong ini pula bersepatu khas! Dicetak guna kaedah 3D dan berupaya merawat penyakit pula.

Anggaran Waktu Membaca:
Kasut cetakan 3D rawat burung lanjut usia hidapi sakit kaki

(Gambar: Taman Burung Jurong)

Diterbitkan : 25 Nov 2021 11:37PM Dikemas Kini : 25 Nov 2021 11:42PM

SINGAPURA: Dua burung pemangsa yang sudah lanjut usia dan menghidap "bumblefoot", iaitu penyakit keradangan yang disebabkan jangkitan bakteria, berjaya dipulihkan dengan bantuan kasut cetakan tiga dimensi (3D).

Rawatan baru itu, yang melibatkan rekaan sepatu silikon dibuat menggunakan cetakan 3D kaki burung itu, adalah hasil kerjasama dua tahun antara pasukan veterinar burung Taman Burung Jurong dengan Pusat Keio-NUS CUTE Universiti Nasional Singapura (NUS).

Bumblefoot, juga dikenali sebagai pododermatitis, menyebabkan kudis tekanan, tisu bengkak serta kematu. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan burung menjadi lumpuh, bahkan boleh membawa maut.

Burung yang cenderung menghabiskan masa lebih lama berhinggap lebih terdedah kepada keadaan ini kerana tekanan dan berat yang berterusan pada kaki haiwan itu boleh menyebabkan kudis dan bengkak.

Artritis, yang biasa dialami pada burung lanjut usia, juga boleh menyebabkan pododermatitis.

Pemangku timbalan naib presiden bagi penyelidikan pemuliharaan dan veterinar di Mandai Wildlife Group, Dr Xie Shangzhe, berkata, "Walaupun pododermatitis boleh dirawat dengan pembalut tradisional, kami mahukan penyelesaian yang lebih khusus dan inovatif.

"Kami memutuskan untuk mencuba cetakan 3D kerana ia menawarkan cara yang lebih tepat untuk mengagihkan berat yang perlu ditampung kaki daripada kawasan yang terjejas."

Dalam satu kenyataan media bersama pada Khamis (25 Nov), Taman Burung Jurong dan NUS berkongsi butiran lanjut mengenai dua "pesakit" yang mendapat manfaat daripada kasut khas itu.

Pesakit pertama ialah burung nasar betina berusia 21 tahun bernama Walter.

Selepas pulih daripada rawatan kasut selama 17 minggu sebelum ini pada 2019, Walter dilepaskan ke aviari Bird of Prey taman itu.

Namun setelah keadaan bumblefootnya kembali, ia sekali lagi dipakaikan kasut khas dan dipantau dari Ogos hingga Oktober tahun ini.

Gejalanya bertambah baik dan kasutnya sudah ditanggalkan. Walter akan dilepaskan dari wad pemerhatiannya ke kandang burung khas untuk burung pesara.

Pada Ogos, seekor burung caracara Selatan jantan berusia 31 tahun bernama Miguel juga dipasang dengan kasutnya sendiri.

Miguel, yang menghidap pododermatitis akibat artritis sejak usia lanjut, menunjukkan keadaan lebih baik selepas dua setengah bulan memakai kasut itu. Alas kaki itu sudah ditanggalkan dan Miguel juga sudah dilepaskan ke dalam kandang burung persaraan.

Pencetakan 3D memberikan pasukan di Pusat Keio-NUS Cute kelonggaran untuk menyesuaikan kasut mengikut saiz, bentuk dan keadaan setiap kaki burung yang berbeza-beza, kata pengarah bersama Pusat itu, Yen Ching-Chiuan.

Ini bukan kali pertama Taman Burung Jurong dan Pusat Keio-NUS CUTE bekerjasama dalam teknologi pencetakan 3D untuk penjagaan veterinar.

Pada tahun 2018, pusat itu mereka bentuk dan memasang "struktur" palsu cetakan 3D untuk seekor burung enggang, yang bahagian paruhnya yang seakan topi keledar terpaksa dipotong akibat barah. Enggang tersebut sudahpun sepenuhnya dan tidak lagi memerlukan struktur palsu itu.

"Kemungkinannya pelbagai apabila sains kejuruteraan dan veterinar bergabung untuk mengusahakan huraian dunia sebenar," kata Dr Xie.

Sumber : Today/IH/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan