Images
  • kad raya istana
    (Gambar: PPIS)

Karya murid 7 tahun Pusat Jagaan Pelajar PPIS dipilih hiasi Kad Raya Istana

SINGAPURA: Jika anda salah seorang istimewa yang menerima kad Hari Raya daripada Presiden Halimah Yacob tahun ini, ambil sedikit masa untuk menatapi dan menghayati lukisan yang menghiasinya.

Lukisan itu adalah hasil karya seorang murid bernama Aidan Lutfi Mohamed Aidil.

Aidan, 7 tahun, merupakan seorang murid darjah satu yang juga di bawah jagaan Pusat Jagaan Pelajar PPIS (Jurong).

Dalam kenyataan medianya pada Khamis (21 Feb), PPIS menyatakan bahawa minat Aidan untuk melukis dan mewarna berputik daripada hobinya membaca buku komik.

Melukis dan mewarna juga merupakan satu kegiatan yang dilakukan bersama adiknya yang berusia lima tahun semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 ini.

Menurut PPIS lagi, lukisan Aidan dipilih setelah pihak Istana menjemput pelbagai pertubuhan termasuk PPIS untuk menghantar hasil seni untuk kad Hari Raya oleh Istana tahun ini. Para pelajar dari kedua-dua Pusat Jagaan Pelajar PPIS dipelawa untuk mengambil bahagian dan melukis subjek-subjek berkaitan dengan Istana.

Dengan bimbingan kakitangan PPIS, Aidan dapat menyiapkan luskisan gambar seekor burung hantu.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada abang-abang dan kakak-kakak, seperti Kakak Shahirah, yang membantu saya. Saya gembira melihat lukisan saya pada kad Hari Raya dari Presiden Singapura!" kata Aidan.

Cik Kalthom Kassim, penyelia Pusat Jagaan Pelajar PPIS (Jurong), berkata: "Kami berharap ini kekal sebagai kenangan manis yang akan menggalakkan Aidan untuk terus menikmati hobinya dan mengejar cita-citanya pada masa hadapan." 

LAPORAN BERKAITAN:


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini bulan Ramadan: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERITAmediacorp/TQ/tq

Top