Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kapal Polaris M'sia tinggalkan perairan S'pura

Kapal milik Malaysia yang berlabuh di perairan Singapura dekat Tuas sejak 3 Disember lalu sudahpun kembali ke pelabuhan Tanjung Pelepas di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Jan 2019 01:23PM Dikemas Kini : 11 Jan 2019 12:29AM

SINGAPURA: Kapal milik Malaysia yang berlabuh di perairan Singapura dekat Tuas sejak 3 Disember lalu sudahpun kembali ke pelabuhan Tanjung Pelepas di Malaysia.

Kapal Polaris milik Jabatan Laut Malaysia dilengkapi boya bagi menanda kawasan sempadan atau amaran bahaya keselamatan.

Menurut laman pemantau kapal global MarineTraffic, kapal Polaris mula berlepas ke Malaysia pada sekitar 10.15 pagi pada 5 Januari, meninggalkan perairan Singapura sebelum membuat perhentian di Tanjung Pelepas sejam kemudian. Kapal itu kini masih berada di pelabuhan tersebut.

Pada Selasa (8 Jan), menteri-menteri luar Singapura dan Malaysia mengadakan pertemuan di negara ini bagi membincangkan beberapa isu - antaranya, isu maritim berhubung had pelabuhan bagi kedua-dua negara.

Berhubung perkara itu, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan rakan sejawatannya dari Malaysia Saifuddin Abdullah bersetuju untuk menubuhkan sebuah kumpulan kerja bagi mengkaji hal tersebut dari segi undang-undang dan operasi. Ia bertujuan untuk meredakan keadaan dan menyediakan asas bagi perbincangan dan rundingan selanjutnya.

Kumpulan kerja itu akan membentangkan laporan kepada kedua-dua menteri luar itu dalam masa dua bulan akan datang.

Kapal Polaris, sejenis kapal serba guna, boleh berlabuh di kawasan laut selama 35 hari tanpa perlu mendapatkan lebih bekalan. Ia berada di perairan Singapura sejak 3 Disember lalu, menurut Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan.

Pada 6 Disember, Encik Khaw memberitahu para wartawan bahawa berlaku 14 pencerobohan di perairan Singapura sejak dua minggu sebelumnya, selepas Malaysia meluaskan Had Pelabuhan Johor Bahru pada Oktober.

Pada 7 Disember, Malaysia menyarankan agar kedua-dua negara "berhenti" menghantar aset ke kawasan yang disifatkannya sebagai "kawasan yang dipertikaikan", sambil menambah bahawa tindakan akan diambil tanpa sebarang prasangka terhadap kedudukan masing-masing berhubung tuntutan sempadan maritim di kawasan itu.

Namun pada keesokan hari, Singapura menolak saranan itu sambil menekankan pencerobohan berkali-kali oleh kapal-kapal Malaysia dan menekankan bahawa "sebarang percubaan untuk mengada-adakan fakta di lapangan tidak akan mengukuhkan kes guaman Malaysia dan ia tidak akan membantu menghuraikan isu-isu sempadan maritim secara aman".

Bagaimanapun semasa mesyuarat pada Selasa (8 Jan), Dr Balakrishnan dan Encik Saifuddin mengalu-alukan "langkah positif yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak untuk terus menangani isu itu dengan cara yang tenang dan membina."  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan