Images
  • kapal
    Kapal M'sia berlanggar dengan kapal kargo pukal Pireas pada 9 Feb. (Gambar: SPF)

Kapal Polaris M'sia berlanggar dengan kapal berdaftar Greece di perairan S'pura

SINGAPURA: Kapal Polaris dari Malaysia dan kapal yang berdaftar di Greece berlanggar di perairan Singapura petang tadi (9 Feb).

Demikian menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA).

"Pada jam 2.28 petang tadi, kapal pengangkut pukal Piraeus yang berdaftar di Greece dan kapal Polaris Malaysia berlanggar di perairan Singapura dekat Had Pelabuhan Tuas," menurut MPA dalam kenyataannya.

Piraeus sedang dalam perjalanan dari Singapura ke pelabuhan persinggahan selanjutnya di Tanjung Pelepas ketika perlanggaran itu berlaku.

"MPA sangat prihatin terhadap kehadiran kapal yang tidak dibenarkan di had pelabuhan Singapura kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada kapal-kapal lain dan mengancam keselamatan navigasi di perairan kita," tambahnya.

Tiada laporan kebocoran minyak, menurut pihak berkuasa, sambil menambah bahawa ia sedang menyiasat insiden itu.

Menurut laman Marine Traffic, Piraeus sudah ditambat di Pelabuhan Tanjung Pelepas. Butiran di laman itu juga menunjukkan bahawa kapal kargo Greece yang berukuran sepanjang 200 meter dibina pada 2006.

Singapura dan Malaysia dibelenggu pertikaian maritim selepas Malaysia pada Oktober tahun lalu meluaskan had pelabuhan Johor Bahru, yang menurut Singapura, mencerobohi perairan wilayahnya.

Pada lewat Nov, kapal-kapal kerajaan Malaysia mula mencerobohi perairan Singapura, kata Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan.

Berucap di Parlimen pada 14 Jan, Dr Balakrishnan berkata Malaysia terus "mencerobohi perairan Singapura setiap hari" meskipun Malaysia menyatakan bahawa ia "akan mengambil langkah-langkah serta-merta untuk mengendurkan ketegangan di kawasan perairan itu".

Singapura sudah membantah tindakan Malaysia yang meluaskan had pelabuhannya dan mencerobohi perairan negara ini, kata Dr Balakrishnan. Beliau menggesa kedua-dua pihak supaya bertindak secara berhemah, mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati perjanjian-perjanjian sedia ada.

Kenyataan Menteri Dr Balakrishnan dikeluarkan menyusuli mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Encik Saifuddin Abdullah pada 8 Jan. Kedua-dua menteri bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi mengkaji dan membincangkan urusan-urusan perundangan dan operasi bagi mengendurkan ketegangan di kawasan yang dipertikaikan.

Kumpulan kerja itu dijangka membentangkan laporannya kepada kedua-dua menteri luar dalam tempoh dua bulan.  

- CNA/AQ/aq

Top