Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kapal muatan ammonium nitrat ke S'pura, kemudahan penyimpanan pelabuhan diperiksa sebagai langkah kawal selia

Kapal yang melewati pelabuhan Singapura kadang-kadang membawa ammonium nitrat, menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada Rabu (12 Ogos) sedang ia menggariskan bagaimana bahan kimia mudah meletup itu dikawal demi menjaga keselamatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kapal muatan ammonium nitrat ke S'pura, kemudahan penyimpanan pelabuhan diperiksa sebagai langkah kawal selia

Pelabuhan di Singapura. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 13 Aug 2020 09:15AM Dikemas Kini : 13 Aug 2020 09:17AM

SINGAPURA: Kapal yang melewati pelabuhan Singapura kadang-kadang membawa ammonium nitrat, menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada Rabu (12 Ogos) sedang ia menggariskan bagaimana bahan kimia mudah meletup itu dikawal demi menjaga keselamatan.

Kapal yang membawa ammonium nitrat harus memberitahu pihak berkuasa pelabuhan mengenai kargonya sebelum tiba di sini. Ia hanya dibenarkan memunggah atau menyimpan bahan itu apabila kebenaran diberikan, menurut MPA sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp.

"MPA menjalankan pemeriksaan di atas kapal untuk memastikan peraturan dipatuhi," tambahnya.

Bahaya ammonium nitrat mendapat perhatian dunia sejak 4 Ogos lalu apabila 2,750 tan bahan kimia mencetuskan letupan dahsyat di kawasan pelabuhan Beirut. Lebih 170 orang terbunuh, 6,500 yang lain cedera dan 300,000 mangsa kehilangan tempat tinggal.

Laporan-laporan menyatakan bahawa ammonium nitrat tiba di Beirut pada 2013 di atas kapal kargo yang mengalami masalah teknikal. Kapal berkenaan diperiksa, dilarang meninggalkan tempat itu dan bahan kimia dipunggah.

Banyak persoalan berlegar tentang mengapa penghantaran bahan kimia yang besar itu dibiarkan begitu lama di gudang pelabuhan namun, Perdana Menteri Lubnan Hassan Diab, menyalahkan letupan tersebut ke atas tempat penyimpanan yang tidak selamat.

Gudang tersebut dilaporkan terbakar akibat kerja penyenggaraan yang dilakukan pada 4 Ogos.

Menurut data perdagangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Singapura mengimport sekurang-kurangnya 1,665 tan ammonium nitrat pada 2019 dari negara-negara seperti Jerman, Malaysia dan Thailand.

"Sebagai hab pemindahan utama, terdapat kapal di pelabuhan Singapura yang membawa ammonium nitrat dari semasa ke semasa," menurut MPA.

Ammonium nitrat adalah pepejal putih seperti kristal yang biasa digunakan untuk membuat baja pertanian. Ia juga boleh dicampurkan dengan minyak bahan bakar untuk membuat bahan peledak yang digunakan dalam pelombongan dan pembinaan.

Namun, bahan kimia itu biasanya diangkut melalui laut dan mempunyai penggunaannya boleh membawa kepada kemudaratan. Kumpulan-kumpulan militan pada masa lalu menggunakannya untuk membuat bom. Pada 2001, ada komplot untuk menyerang Singapura dengan menggunakan bom yang dipasang dengan ammonium nitrat.

KAPAL BAWA AMMONIUM NITRAT DIPERIKSA

Di Singapura, ammonium nitrat diklasifikasikan sebagai Barang Berbahaya. Ini bermaksud semua kapal yang mengangkutnya ke sini mesti mematuhi Kod Barangan Berbahaya Maritim Antarabangsa.

Kod itu merangkumi perkara seperti pelabelan dan pengasingan penyimpanan yang betul, menurut MPA. Surat pekeliling pelabuhan MPA yang dikeluarkan pada Januari 2019 menunjukkan bahawa ammonium nitrat di atas kapal mesti disimpan dalam kontena.

MPA menyatakan bahawa pemilik, ejen atau tuan kapal yang tiba di sini dengan membawa barangan berbahaya atau berhasrat memuatkannya di pelabuhan mesti mengemukakan Pemberitahuan Barangan Berbahaya tidak kurang dari 12 jam sebelum barangan tersebut tiba di sini atau dipunggahkan.

Pemberitahuan ini boleh diserahkan melalui portal online maritim seperti Portnet, JP-Online atau Marinet, tambahnya.

"Sehingga kebenaran daripada Ketua Pelabuhan diterima, ia tidak boleh membuat pemuatan atau pemunggahan kargo seumpama itu dari kapal," tegasnya.

"Persetujuan daripada pengendali terminal perlu diperolehi untuk penyimpanan sementara barangan berbahaya di dalam terminal."

Selain daripada pemeriksaan MPA di atas kapal, penguasa itu menyatakan Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) juga menjalankan audit pengurusan selamat serta pemeriksaan di premis penyimpanan di terminal pelabuhan.

PENGENDALI AMMONIUM NITRAT MESTI BEBAS REKOD JENAYAH

Polis juga mengawal selia import dan eksport tempatan bagi ammonium nitrat sebagai bahan letupan di bawah Akta Senjata dan Bahan Letupan.

Sesiapa yang ingin menghasilkan, menyimpan, berurusan dengan, memiliki, mengimport atau mengeksport ammonium nitrat memerlukan lesen di bawah Akta Senjata dan Bahan Letupan, polis memberitahu Mediacorp.

Pemohon lesen yang ingin menghasilkan, menyimpan, berurusan dengan atau memiliki bahan kimia tersebut mestilah warga Singapura atau penduduk tetap serta pihak berkepentingan yang berdaftar dengan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA).

Mereka yang akan mengendalikan bahan kimia itu secara langsung tidak boleh mempunyai rekod jenayah dan mereka perlu mempunyai pengalaman serta pengetahuan relevan dalam pengendalian bahan peledak.

Pemohon juga dikehendaki menyerahkan rekod latihan dan pentauliahan bagi kakitangan yang mengendalikan bahan kimia itu, rancangan keselamatan untuk pengendaliannya, pengangkutan dan penyimpanannya serta catatan mengenai proses sebenar di mana bahan kimia tersebut digunakan.

WAJIB ADA PENGALIHAN UDARA, LANGKAH KESELAMATAN KEBAKARAN SECUKUPNYA

Polis menyatakan ia boleh mengenakan syarat tambahan bergantung kepada jenis dan jumlah bahan letupan yang akan disimpan.

Tempat penyimpanan juga harus mempunyai pengalihan udara yang baik dan jauh daripada bahan mudah terbakar, jelas polis, sambil menambah bahawa pemegang lesen mesti mempunyai langkah keselamatan kebakaran yang "kukuh" untuk mengurangkan kesan daripada berlaku sebarang kejadian. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan