Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kanak-kanak yang disimbah air panas “sangat tidak stabil & tenat” bila tiba di hospital

Keadaan kanak-kanak itu “pasti” berbeza, kata Dr Kang, sekiranya dia mendapat rawatan segera. Tanpa rawatan segera, kanak-kanak itu boleh mengalami kerosakan berbilang organ.

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak yang disimbah air panas “sangat tidak stabil & tenat” bila tiba di hospital

Gambar fail Mahkamah Tinggi Singapura.

SINGAPURA: Keadaan kanak-kanak lima tahun yang maut akibat kecederaannya setelah dianiaya dan disimbah air panas oleh ibu bapanya iaitu Azlin Arujunah dan Ridzuan Mega Abdul Rahman, “sangat tidak stabil dan tenat” semasa tiba di hospital.

Demikian menurut seorang doktor pakar, Dr Gavin Kang Chun-Wui, semasa memberi keterangan pakar di Mahkamah Tinggi pagi tadi (15 Nov) bagi kes tersebut.

Dr Kang, yang merawat kelecuran pada tubuh kanak-kanak tersebut di Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH), menambah bahawa kecederaan kanak-kanak itu begitu teruk sehingga dia mengalami kejutan atau renjatan semasa hendak menjalani pembedahan.

Mahkamah juga diberitahu, kanak-kanak itu mengalami “kelecuran teruk meliputi 70 peratus” anggota tubuhnya, sebahagian besarnya adalah kelecuran ketebalan separa sederhana (mid partial thickness). Tahap kelecuran sebegitu, menurut Dr Kang, meningkatkan risiko penyakit dan kematian.

Dr Kang berkongsi penilaian beliau itu berhubung kelecuran dan kecederaan yang dialami kanak-kanak itu semasa perbicaraan hari keempat bagi kes Azlin dan Ridzuan Mega.

Kedua-duanya yang berusia 27 tahun dituduh membunuh dengan niat yang sama, menerusi perbuatan menyimbah anak mereka air panas, menyebabkan kematiannya. Insiden itu berlaku antara 15 Oktober dengan 22 Oktober 2016.

Di mahkamah tadi, sekitar 10 gambar yang menunjukkan kelecuran dahsyat yang dialami kanak-kanak itu dipaparkan sebuah skrin besar untuk pihak pendakwa menentukan bahagian mana yang diliputi kelecuran ketebalan separa sederhana dan kelecuran teruk. Ketika itu juga, kedua-dua ibu bapa mangsa dilihat menundukkan pandangan mereka.

Semasa kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital, kelecuran pada tubuh badannya disifatkan sudah kehitam-hitaman, menunjukkan kemungkinan ia tidak segera dibersihkan dan pesakit tidak segera kejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Dia sepatutnya segera dikejarkan ke hospital untuk mendapat rawatan dengan segera. Kalau tidak, dia boleh mengalami renjatan dan kecederaannya boleh mengalami jangkitan,” kata Dr Kang.

Keadaan kanak-kanak itu “pasti” berbeza, kata Dr Kang, sekiranya dia mendapat rawatan segera. Tanpa rawatan segera, kanak-kanak itu boleh mengalami kerosakan berbilang organ.

Dalam kes ini, kanak-kanak itu mengalami kerosakan paru-paru dan buah pinggang, kata Dr Kang.

Mahkamah diberitahu kanak-kanak itu cedera di rumah sekitar pukul 12.00 tengah hari pada 22 Oktober 2016. Namun hanya dikejarkan ke hospital kira-kira lapan jam kemudian, iaitu pukul 8.00 malam.

Dr Kang juga memberitahu mahkamah, kelecuran melebihi 40 peratus hingga 50 peratus boleh mengancam nyawa. Ini lebih genting bagi kanak-kanak memandangkan kulit mereka lebih tipis dan keupayaan organ-organ mereka juga tidak seperti orang dewasa, bermakna kanak-kanak berisiko lebih tinggi mengalami penyakit atau kematian jika dalam lingkungan tersebut.

Malah, Dr Kang menambah menurut garis panduan antarabangsa, jika seseorang kanak-kanak mengalami kelecuran 10 peratus, dia mesti segera mendapatkan rawatan di hospital supaya ia tidak menjadi lebih mudarat.

Antara kecederaan lain kanak-kanak itu termasuk darah beku pada bahagian kulit kepalanya, melecet pada pipi, dagu dan kening sebelah kiri dan retak tulang hidung.

Apabila diminta oleh pihak pendakwa untuk menggambarkan reaksi seorang kanak-kanak yang mengalami kelecuran teruk sedemikian, Dr Kang menyifatkannya sebagai “menderita dan dalam kesakitan”.

Budak itu turut mengalami kelecuran di bahagian alat sulitnya.

"Seluruh tapak tangan" mangsa juga melecur, menurut doktor itu, seperti lecuran akibat ditekap dengan sudu panas.

Bapa mangsa, Ridzuan, dituduh menekap sudu panas pada tangan mangsa apabila budak itu mencuri tepung susu untuk dimakan.

Kedua-dua ibu bapa dituduh mencubit peha dan punggung mangsa dengan playar, membantainya dengan penyapu atau penyangkut baju dan tangan serta menyimpannya dalam sebuah sangkar kucing.

RIDZUAN DIDAPATI "TIDAK MENGALAMI KURANG DAYA INTELEK"

Dalam sesi perbicaraan yang berlangsung pada sebelah petang pula, seorang ahli psikologi dari Institut Kesihatan Mental (IMH), Cik Leung Hoi Ting, berkata bapa mangsa Ridzuan Mega didapati "tidak mengalami kurang daya intelek".

Beliau dipanggil memberikan keterangan mengenai dapatan penilaian yang dijalankan ke atas bapa mangsa, Ridzuan Mega semasa dia ditahan di Kompleks Pusat Perubatan (CMC).

Mahkamah diberitahu bahawa Cik Leung menjalankan ujian dan penilaian intelektual dan juga penyesuaian (adaptive assessment).

"Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklumat tentang bagaimana dia menjalani kehidupannya sehari-hari dan latar belakangnya," kata Cik Leung.

Ini termasuk maklumat mengenai kehidupan dan pembangunannya semasa kanak-kanak, sejarah pendidikannya dan cara-cara dia menjaga dan menguruskan dirinya sendiri seperti mata pencariannya.

Cik Leung juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menilai Ridzuan sebagai mengalami masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD).

Perbicaraan kes Azlin Arujunah dan Ridzuan Mega Abdul Rahman akan diteruskan pada Isnin (18 Nov).

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan