Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kanak-kanak 1 tahun antara 2 kes COVID-19 dalam masyarakat pada Selasa

Singapura melaporkan 61 kes baru COVID-19 pada Selasa (11 Ogos), termasuk dua dalam masyarakat dan tiga jangkitan import, menurut Kementerian Kesihatan (MOH). Mereka termasuk seorang budak berusia setahun, dan satu lagi kanak-kanak 3 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak 1 tahun antara 2 kes COVID-19 dalam masyarakat pada Selasa

Orang ramai memakai pelitup di S'pura pada 19 Jul 2020 (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 11 Aug 2020 11:49PM Dikemas Kini : 11 Aug 2020 11:52PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 61 kes baru COVID-19 pada Selasa (11 Ogos), termasuk dua dalam masyarakat dan tiga jangkitan import, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Ia merupakan jumlah kes harian terendah sejak 2 April, apabila 49 kes baru dilaporkan.
Kes baru pada Selasa menjadikan jumlah jangkitan di negara ini meningkat kepada 55,353.

Kedua-dua kes dalam masyarakat yang dilaporkan pada Selasa adalah warga Singapura, kata MOH. Tiga kes import hari ini dikenakan notis jangan keluar rumah (SHN) sebaik mereka tiba di Singapura dari India.

KANAK-KANAK 1 TAHUN ANTARA KES MASYARAKAT

Kedua-dua kes dalam masyarakat - seorang lelaki 30 tahun warga Singapura dan seorang kanak-kanak perempuan 1 tahun warga Singapura - dikaitkan dengan kes sebelumnya, menurut kementerian itu.

"(Mereka) adalah anggota keluarga yang telah dikenal pasti sebagai kontak kes yang disahkan sebelumnya," tambah MOH.

"Mereka dikuarantin, dan diuji semasa mereka melaporkan mengalami gejala."

Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat kekal stabil dengan purata dua kes sehari sejak dua minggu lalu. Jumlah kes dalam masyarakat tanpa kaitan juga kekal stabil pada purata satu kes sehari sejak dua minggu lalu.

KETIGA-TIGA KES IMPORT DARI INDIA

Ketiga-tiga kes import tiba dari India. Salah satu daripadanya seorang budak perempuan tiga tahun yang merupakan pemegang pas lawatan jangka panjang dan tiba di Singapura pada 28 Jul.

Dua kes lain adalah pemegang pas lawatan jangka panjang dan pemegang pas tanggungan yang masing-masing tiba pada 29 dan 30 Jul.

Ketiga-tiga kes dikenakan SHN setibanya di Singapura dan diuji semasa menjalani SHN di kemudahan khusus.

37 KELOMPOK JANGKITAN DITUTUP

Baki 56 kes COVID-19 yang dilaporkan pada Selasa adalah pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori.

MOH menyatakan pasukan bertindak berbilang agensi sudah selesai menjalankan ujian ke atas semua pekerja di dormitori, dengan sekitar 22,500 pekerja masih menjalani tempoh kuarantin mereka.

"Pekerja-pekerja ini akan diuji apabila tempoh pengasingan mereka tamat, dan kami menjangkakan jumlah kes akan terus tinggi dalam beberapa hari mendatang, sebelum mula merosot," kata kementerian itu.

37 lagi dormitori disahkan bebas daripada COVID-19, dan kini hanya menempatkan individu yang pulih dan mereka yang baru-baru ini diuji negatif COVID-19, lapor MOH.

"Oleh itu, kelompok-kelompok tersebut sekarang ditutup," tambah kementerian itu.

519 LAGI PESAKIT DIBENARKAN PULANG

Lagi 519 pesakit COVID-19 dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Secara keseluruhan, 50,128 sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan rawatan masyarakat.

Kini terdapat 104 kes yang disahkan masih berada di hospital. Sebilangan besar stabil atau beransur pulih, dan tiada yang dirawat di unit jagaan rapi, menurut MOH.

Sebanyak 5,094 kes diasingkan dan dijagat di kemudahan masyarakat, terdiri daripada mereka yang mengalami gejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun tetap diuji positif COVID-19.

27 orang meninggal dunia akibat komplikasi berhubung COVID-19. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan