Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kampung Admiralty menang anugerah reka bentuk, binaan HDB

Kampung Admiralty, kompleks persaraan yang baru-baru ini dipuji oleh PM Lee Hsien Loong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan, memenangi dua anugerah reka bentuk dan binaan. Demikian diumumkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Ahad (2 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Sep 2018 05:45PM Dikemas Kini : 02 Sep 2018 09:27PM

SINGAPURA: Kampung Admiralty, kompleks persaraan yang baru-baru ini dipuji oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan, memenangi dua anugerah reka bentuk dan binaan. Demikian diumumkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Ahad (2 Sep).

Kedua-dua anugerah itu akan disampaikan sebagai sebahagian daripada 31 anguerah HDB bagi pencapaian dari segi reka bentuk, binaan dan kejuruteraan. Ia mengiktiraf "pendekatan reka bentuk tidak konvensional yang mewujudkan pelbagai lapisan hijau yang berfungsi sebagai ruang masyarakat" di Kampung Admiralty, menurut kenyataan HDB.

Projek pembangunan campuran itu juga dianugerahi CONQUAS STAR (Sistem Penilaian Mutu Binaan), yang diberikan kepada projek-projek yang mendapat lebih 95 markah bagi mutu kerja yang berkualiti.

Kampung Admiralty pembangunan bersepadu awam pertama direka dengan menerapkan ciri-ciri mesra warga tua sejak projek itu dimulakan.

Dalam kategori perumahan, Punggol Waterway View dan Depot Heights turut memenangi anugerah reka bentuk, dengan HDB memuji Punggol Waterway View atas ciri seni binanya yang tersendiri.

"Tema desa 'kelong', yang mendapat ilham daripada sejarah Punggol sebagai sebuah "kelong "atau kampung nelayan, dipaparkan melalui pemilihan warna blok, meniru kayu semula jadi dalam reka bentuk bahagian luar bangunan, serta penggunaan kaki bajang untuk dek luar, " menurut HDB.

"Kami bekerja rapat dengan perunding kami untuk cuba memaksimumkan potensi setiap tapak, dan kami cuba melakukan sesuatu yang mengetengahkan identiti setiap kawasan," kata Jeremiah Lim, Timbalan Pengarah HDB untuk dasar reka bentuk. "Kami komited bagi menyediakan lebih banyak persekitaran yang direka dengan baik, tertumpu kepada masyarakat dan dibina dengan baik untuk penduduk kita."

Projek perumahan SkyPeak @ Bukit Batok, yang memenangi anugerah binaan, turut dipuji HDB kerana dapat mengatasi cabaran terletak di antara dua sekolah rendah.

"Pasukan projek mendampingi sekolah-sekolah, badan akar umbi, dan Majlis Bandaran sepanjang proses pembinaan, bekerja rapat dengan setiap pihak berkepentingan untuk mengurangkan bunyi dan habuk pembinaan," menurut HDB lagi.

Satu lagi projek perumahan Bukit Batok - West Terra - memenangi anugerah kejuruteraan bagi penggunaan teknologi pasang siap berbanding kaedah pasang siap dua dimensi konvensional. Kaedah baru untuk menambak tanah di Pulau Tekong juga memenangi anugerah kejuruteraan untuk inovasi.

"Dengan sokongan padu oleh para perunding seni bina dan kejuruteraan kami, serta kontraktor bangunan kami, kami dapat mencapai misi untuk mewujudkan bandar-bandar yang bertenaga dan rumah-rumah yang bermutu," kata ketua pegawai eksekutif HDB Dr Cheong Koon Hean.

"Kami akan terus bekerja rapat dengan mereka untuk membina lebih banyak rumah yang menjadi kebanggaan rakyat Singapura."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan