Images
  • frank tsao
    Tokoh perkapalan, Frank Tsao, meninggal dunia pada usia 94 tahun. (Gambar: IMC)

"Kami menganggapnya sebagai sebahagian daripada kita", Pemimpin S'pura ucap takziah atas pemergian Frank Tsao

SINGAPURA: Para pemimpin Singapura hari ini (15 Ogos) mengucapkan takziah atas pemergian tokoh perkapalan, Frank Tsao.

Encik Tsao adalah pengasas IMC Group dan pengerusi pengasas Suntec City Development dan mendiang meninggal dunia "dengan tenang di sisi keluarganya" pada Isnin (12 Ogos), menurut kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman IMC Group. Mendiang berusia 94 tahun.

Encik Tsao, yang dilahirkan di Shanghai, menerima Anugerah Rakyat Kehormat daripada Pemerintah Singapura pada 2008.

Dalam surat yang disampaikan kepada anak lelakinya Frederick Tsao, Perdana Menteri Lee Hsien Loong melahirkan rasa sedih atas pemergian mendiang. PM Lee juga menarik perhatian kepada hubungannya dengan Singapura.

"Frank adalah sahabat lama dan rakan baik Singapura," kata PM Lee dalam suratnya. "Sebagai seorang pemimpin yang dihormati dalam industri perkapalan, Frank sering memberi nasihat kepada Pemerintah mengenai dasar-dasar industri maritim."

"Beliau percaya sepenuhnya terhadap potensi Singapura."

Pemindahan ibu pejabat operasi IMC Group Encik Tsao dari Hong Kong ke Singapura pada 1991 membantu negara ini "semasa Singapura sedang merancang untuk membuat pelaburan bagi meningkatkan keupayaan pelabuhan kita," kata perdana menteri.

Mendiang juga memainkan peranan penting dalam membina keupayaan dan memikat bakat ke industri itu menerusi sokongannya kepada penubuhan Pusat Pengajian Maritim di Universiti Nasional Singapura.

Selain itu, PM Lee berkata mendiang juga membantu menubuhkan sekretariat tetap bagi Forum Pemilik Kapal Asia di Singapura.

"Menerusi usaha tersebut, beliau memperhebatkan rancangan kita untuk membangunkan Singapura sebagai sebuah pusat maritim antarabangsa."

Sebagai pengerusi pengasas Suntec City Development, Encik Tsao juga menerajui konsortium Hong Kong yang membina Suntec City.

Ia merupakan satu "pelaburan besar" dan "jelas menunjukkan keyakinan terhadap Singapura", kata PM Lee, sambil merujuk kepada Persidangan Peringkat Menteri Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) yang dihoskan oleh Singapura pada 1996.

Selain bidang perkapalan dan hartanah, PM Lee berkata Encik Tsao juga "membuat sumbangan besar" kepada masyarakat Singapura menerusi Yayasan Tsao.

PM Lee menarik perhatian bahawa usaha yayasan itu tertumpu kepada menyediakan jagaan dan sokongan bagi ramai warga tua di Singapura serta bekerjasama dengan Pemerintah berhubung inisiatif-inisiatif penuaan aktif.

"Frank sudah membuat banyak sumbangan besar kepada masyarakat sejak bertahun-tahun lamanya," kata PM Lee. "Atas sumbangannya, Frank diberikan Anugerah Rakyat Kehormat pada 2008.

"Kami menganggapnya sebagai sebahagian daripada kita."

Menulis di laman Facebooknya pula, Menteri Penyelaras bagi Prasarana merangkap Pengangkutan Khaw Boon Wan turut melahirkan rasa sedih atas pemergian Encik Tsao.

Menyifatkan Encik Tsao sebagai 'rakan baik' Maritim dan Perkapalan Singapura dan Penguasa Pelabuhan Singapura, Encik Khaw turut memuji sokongan mendiang kepada industri maritim.

"Beliau sentiasa bersedia untuk memberikan nasihat mengenai bagaimana untuk membangunkan Maritim Singapura, menghubungkan kita dengan rangkaian perniagaan penting, menarik perhatian kepada peluang-peluang baru dan memberikan saranan mengenai bagaimana kita boleh menjadikannya peluang-peluang untuk memberi manfaat kepada Singapura," kata Encik Khaw.

"Beliau optimis tentang masa depan Singapura dan membuat pelaburan besar."

Encik Khaw juga menyentuh mengenai peranan Encik Tsao dalam menyokong Singapura sebagai tuan rumah Persidangan Peringkat Menteri WTO di Suntec City pada 1996.

- CNA/AI/ai

Top