Images
  • nea smoking
    Surat yang dikirmkan kepada pemilik unit. 

Kamera haba 'tangkap' perokok di luar flat, penduduk Bedok Reservoir diminta bantu siasatan

SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) meminta seorang penduduk Bedok untuk membantu siasatan setelah kamera haba memetik kelibat seorang individu merokok di luar flatnya buat beberapa kali.

Surat NEA bertarikh 6 Jun dan dikirimkan ke pemilik sebuah flat di Blok 620 Bedok Reservoir Road menyatakan ia mempunyai video yang menunjukkan "orang merokok di koridor...dan keluar masuk dari unit tersebut" buat 12 kali.

Kesalahan-kesalahan itu dilakukan antara 11 hingga 14 April lalu, antara jam 4.30 petang hingga 11.20 malam.

Menurut kandungan surat itu: "Siasatan kami mendedahkan anda adalah pemilik premis berkenaan."

"Dengan ini anda dikehendaki mengambil langkah-langkah wajar untuk memberikan maklumat relevan berhubung kesalahan itu seperti identiti dan alamat orang yang merokok pada atau sekitar masa kesalahan dilakukan."

Menteri Negara Kanan Sekitaran dan Sumber Air Amy Khor berkata pada September tahun lalu bahawa NEA sedang menimbangkan "penggunaan kamera-kameras haba untuk mencegah perbuatan merokok sembarangan".

14 HARI UNTUK BERIKAN MAKLUMAT

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, NEA menyatakan ia menerima 13 aduan berkaitan perbuatan merokok di blok berkenaan sejak Februari 2019.

"Susuli maklum balas daripada penduduk, NEA mengedarkan risalah pendidikan dan berganding bahu dengan majlis bandaran untuk mendampingi penduduk," tambahnya.

"NEA juga menjalankan beberapa pusingan pengawasan di blok itu termasuk pengerahan kamera termal."

Semasa pengerahan tersebut, NEA menyatakan seorang "individu" dilihat merokok di koridor berkenaan sebanyak 12 kali.

Menurut NEA, ia sudahpun memulakan siasatan yang termasuk menghantar surat kepada pemilik flat terlibat dan akan mengambil tindakan sewajarnya apabila siasatan selesai dijalankan.

Dalam surat itu, NEA menyatakan pemilik berkenaan mempunyai 14 hari dari tarikh surat itu untuk memberikan maklumat berhubung kesalahan tersebut

Surat itu juga menyatakan bahawa jika pemilik tidak memberikan keterangan dalam tempoh 14 hari, dia boleh didakwa di bawah Seksyen 4B Akta Merokok (Larangan di Tempat Tertentu).

"Jika didapati bersalah, anda akan dikenakan denda tidak melebihi S$2,000 untuk kesalahan kali pertama."

70 KAMERA HABA DIPASANG SEJAK JANUARI

Menurut NEA, ia sudahpun memasang 70 kamera haba sejak Januari lalu di kawasan-kawasan perumahan dan tempat-tempat lain yang kerap kali menerima maklum balas mengenai isu merokok.

"Kamera haba membolehkan NEA meningkatkan lagi operasi penguatkuasaan dan keupayaan kami untuk mengesan perbuatan merokok di kawasan larangan," tambahnya.

"Kamera haba ini dapat mengesan objek yang mengeluarkan haba tinggi dan dapat menangkap imej-imejan kesalahan merokok."

Pada 2018, NEA mengeluarkan lebih 30,000 saman bagi perbuatan merokok di kawasan-kawasan larangan. 

- CNA/FZ/fz

Top