Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kakitangan TTSH kongsi mengenai risiko bertugas dalam kelompok COVID-19

Kakitangan di Hospital Tan Tock Seng menerima kejutan hebat pada Rabu (28 April), apabila menerima emel seluruh syarikat memberitakan khabar bahawa jangkitan COVID-19 baru timbul di hospital itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kakitangan TTSH kongsi mengenai risiko bertugas dalam kelompok COVID-19

(Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 01 May 2021 12:50AM Dikemas Kini : 01 May 2021 12:54AM

SINGAPURA: Kakitangan di Hospital Tan Tock Seng menerima kejutan hebat pada Rabu (28 April), apabila menerima emel seluruh syarikat memberitakan khabar bahawa jangkitan COVID-19 baru timbul di hospital itu.

Sehingga Jumaat (30 Apr), kelompok jangkitan di hospital itu - yang terdiri daripada pesakit dan kakitangan - adalah kelompok aktif terbesar di Singapura saat ini.

“Saya sangat terkejut. Saya benar-benar tidak menjangkakan ini kerana kes dalam masyarakat agak rendah dan terutama di hospital. Saya fikir ia adalah tempat terakhir ia berlaku," kata Jess*, seorang kakitangan hospital.

Bagi seorang kakitangan lain, Sarah*, rasa terkejut itu disusuli dengan rasa bimbang. Tugasnya memerlukannya berinteraksi dengan ramai pesakit di seluruh hospital.

"Saya takut. Dan jika saya dihinggapi (COVID-19), adakah saya akan menyebarkannya kepada keluarga saya? "

Sarah bukan satu-satunya yang dipenuhi rasa takut.

"Sebilangan pesakit saya bertanya sama ada mereka selamat, kerana mereka mendengar (mengenai jangkitan)," kata Sarah kepada Mediacorp. "Anda dapat melihat orang di sekitar sedikit sebanyak berasa takut."

"(Pesakit luar juga) memberitahu bahawa jika mereka tahu terlebih awal tentang berita itu, mereka tidak akan datang untuk janji temu mereka."

LANGKAH-LANGKAH DIAMBIL

Namun setelah rasa terkejut mula reda, kakitangan seperti Jess berkata bahawa mereka tidak terlalu gementar bekerja di pusat kelompok aktif terbesar di negara ini.

"Kami menghadapi (risiko ini) sejak awal COVID, saya sudah terbiasa," katanya, sambil menambah bahawa keluarganya juga sudah terbiasa dengan kebimbangan yang berterusan mengenai keselamatannya.

"Kami melalui tempoh pemutus rantaian jangkitan, dan saya rasa itu lebih teruk.

"Waktu itu, semua orang yang masuk, kami tidak pasti sama ada mereka ada COVID atau tidak, tapi sekarang... masih sangat terpencil," katanya.

Beberapa langkah yang diambil untuk memencilkan jangkitan juga membantu menenangkan Jess.

Pihak hospital menyatakan ia akan menguji semua kakitangan dan pesakit, mengenakan kuarantin terhadap kemungkinan kontak, mengepung wad-wad tertentu, melarang semua pelawat, dan mengarahkan kes-kes yang tidak mengancam nyawa ke hospital lain.

"Mereka bertindak balas dengan pantas, untuk menutup wad dan melakukan pembersihan terminal di beberapa tempat, memastikan virus dibendung," kata Jess.

Dia menambah bahawa kakitangan secara berkala meyakinkan pesakit bahawa mereka sudah diuji negatif COVID-19, untuk meredakan ketakutan mereka.

"Saya juga akan memberitahu mereka bahawa wad terjejas sudah dikepung dan sejauh ini, kawasan ini selamat," tambah Sarah.

LANGKAH DIPERKETAT

Akibat langkah-langkah yang diperketat, hospital yang biasanya sibuk menjadi lebih sunyi, kata Sarah. Namun selain itu, setiap orang menjalankan tugas mereka seperti biasa.

"Orang-orang bercakap tentangnya, memikirkan apa yang akan berlaku seterusnya, sama ada kita perlu diasingkan selepas ini.

"Tetapi secara keseluruhan, saya rasa tidak ada perubahan dalam suasana," kata Jess.

Perbezaan paling ketara - penekanan yang lebih besar pada langkah kebersihan dan keselamatan berbanding dahulu, katanya. Pertama, terdapat lebih banyak peringatan untuk memakai pelitup dan alat pelindung dengan betul.

"Cuma ada langkah yang lebih ketat yang harus kita ambil, (dan) kita harus lebih berhati-hati," kata Jess.

Anggota kakitangan itu menambah, akhirnya, kelompok itu adalah peringatan bahawa mereka tidak boleh bersikap sambil lewa.

*Nama-nama diubah untuk melindungi identiti mereka. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan