Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kakitangan Ren Ci dapat vaksinasi COVID-19

Seramai 50 kakitangan di rumah jagaan Ren Ci di Bukit Batok pada Isnin (11 Jan) menjadi antara pekerja penjagaan masyarakat yang pertama di Singapura untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Jan 2021 04:54PM Dikemas Kini : 12 Jan 2021 12:29AM

SINGAPURA: Seramai 50 kakitangan di rumah jagaan Ren Ci di Bukit Batok pada Isnin (11 Jan) menjadi antara pekerja penjagaan masyarakat yang pertama di Singapura untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Mereka menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech, dengan penolong pengarah rumah jagaan itu, Elsie Teo yang pertama diberi suntikan, kata Ren Ci dalam satu kenyataan media.

"Setelah hampir setahun menangani COVID-19, saya gembira kerana dapat mula melihat sinar harapan dengan adanya vaksin ini," kata Cik Teo, 66 tahun.

“Saya gembira kami diutamakan untuk diberi vaksin sekarang. Ini memberi saya jaminan tambahan selain langkah-langkah pengurusan selamat yang ada bahawa saya dapat terus memberikan rawatan yang selamat kepada penghuni di pusat jagaan.

Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) bekerjasama rapat dengan rumah jagaan untuk melancarkan program vaksinasi untuk kakitangan dalam sektor penjagaan masyarakat, kata Ren Ci.

Vaksin diberikan oleh pasukan Ren Ci sendiri, mengikut garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh AIC dan Kementerian Kesihatan.

Pihak pengurusan Ren Ci mengadakan mesyuarat secara online pada minggu lalu untuk membincangkan kebimbangan kakitangan mengenai vaksinasi sukarela itu. Empat daripada lima kakitangan memilih untuk diberi vaksin, kata Encik Joe Hau, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Ren Ci.

Encik Hau berkata, kakitangan penjagaan masyarakat mempunyai peranan penting untuk menjaga keselamatan warga tua.

"Dengan mengambil vaksin juga akan membantu melindungi kita dan orang yang kita sayangi di rumah. Saya gembira dapat berkongsi bahawa kakitangan kami memahami pentingnya vaksinasi dan kami memperoleh kadar pengambilan vaksin sebanyak 80 peratus."

Menurut Ren Ci, kakitangan di rumah jagaan Ang Mo Kio dan hospital masyarakat di Novena juga akan diberi vaksin pada minggu-minggu akan datang.

Ditubuhkan pada tahun 1994, Hospital Ren Ci adalah sebuah institusi amal yang menyediakan rawatan perubatan, khidmat penjagaan dan pemulihan kepada warga tua dan mereka yang menderita penyakit kronik.

Sumber : CNA/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan