Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kakitangan barisan hadapan dilatih bantu pesakit demensia sedang kes demensia meningkat

Persatuan Penyakit Alzheimer (ADA) menyatakan bahawa kes demensia menunjukkan trend yang meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Jan 2019 10:09PM Dikemas Kini : 06 Jan 2019 10:13PM

SINGAPURA: Persatuan Penyakit Alzheimer (ADA) menyatakan bahawa kes demensia menunjukkan trend yang meningkat.

Dalam beberapa tahun akan datang, lebih 100,000 orang dianggarkan mengalami demensia, berbanding kira-kira 82,000 orang pada masa ini.

Sehubungan dengan itu, syarikat-syarikat bukan dari sektor kesihatan juga sedang giat melatih para pekerja barisan hadapan masing-masing untuk membantu mereka yang mengalami demensia.

KAKITANGAN SMRT DILATIH BANTU PENUMPANG DEMENSIA

Cik Rohaza Jamari, seorang penolong pengurus stesen syarikat SMRT, sudah bertemu dengan tiga penumpang yang mengalami demensia dalam masa setahun lalu.

"Saya pernah berhadapan dengan seorang lelaki tua yang kelihatan sesat di Stesen Tanah Merah. Saya terus mendampinginya dan menanyakan jika dia memerlukan bantuan saya. Dia berkata dia sesat dan mahu pulang," kongsi Cik Rohaza.

Beliau kemudian menghantar lelaki warga tua itu pulang dengan teksi selepas membantunya mengingati semula alamat rumahnya.

Di SMRT, semua kakitangan barisan hadapan perlu menjalani program latihan untuk melayani golongan penumpang yang mempunyai keperluan khas dan salah satu topiknya adalah demensia.

SYARIKAT-SYARIKAT LAIN TURUT SERTAI PROGRAM LATIHAN

Selain SMRT, penyedia latihan NTUC LearningHub juga baru-baru ini melatih beberapa kakitangan Bank UOB. Menurut pusat latihan itu, jumlah orang yang mengambil kursus menangani pesakit demensia sudah meningkat.

NTUC LearningHub juga bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta Forget Us Not, sebuah inisiatif kebangsaan oleh ADA, Yayasan Lien dan Hospital Khoo Teck Puat untuk meningkatkan tahap kesedaran orang ramai mengenai demensia.

Setakat ini, Forget Us Not sudah melatih lebih 27,000 orang dan 140 pertubuhan, termasuk Seiko Instruments dan Bank DBS.

Di Singapura, setiap satu dalam 10 orang mengalami demensia dan jumlah ini dijangka meningkat. Maka itu, penting untuk masyarakat secara menyeluruh lebih peka tentang penyakit tersebut.  

Sumber : CNA/NU/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan