Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kakitangan awam enggan divaksin mungkin dikenakan cuti tanpa gaji

Kakitangan awam di negara ini yang memilih untuk tetap tidak divaksinsi  terhadap COVID-19, walaupun layak daripada segi perubatan, mungkin dikenakan cuti tanpa gaji sebagai pilihan  terakhir, menurut Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD). 

Anggaran Waktu Membaca:
Kakitangan awam enggan divaksin mungkin dikenakan cuti tanpa gaji

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 04 Nov 2021 10:14AM Dikemas Kini : 04 Nov 2021 10:16AM

SINGAPURA: Kakitangan awam di negara ini yang memilih untuk tetap tidak divaksinsi terhadap COVID-19, walaupun layak daripada segi perubatan, mungkin dikenakan cuti tanpa gaji sebagai pilihan terakhir, menurut Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD).

Langkah itu diambil selepas Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada 23 Oktober lalu bahawa hanya pekerja sudah lengkap divaksin - atau mereka yang pulih daripada COVID-19 dalam tempoh 270 hari lalu - akan dibenarkan untuk kembali ke tempat kerja mulai tahun depan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap PSD berkata mulai 1 Januari, ia "akan melakukan sebaik mungkin" untuk membenarkan pegawai awam tidak divaksin untuk bekerja dari rumah sekiranya pekerjaan itu mengizinkan.

Pegawai berkenaan juga mungkin diberikan tugas lain yang boleh dilakukan dari rumah, jika pekerjaan seumpama itu tersedia, dengan gaji "sepadan dengan pekerjaan alternatif tersebut", tambah jurucakap berkenaan.

“Jika mereka memilih untuk tidak divaksin meskipun layak dari segi perubatan dan sekiranya beliau tidak boleh dikerahkan ke tugasan lain, kami mungkin meletakkan individu berkenaan di bawah cuti tanpa gaji sebagai pilihan terakhir atau membenarkan kontrak itu tamat tanpa diperbaharui."

Ia selaras dengan langkah-langkah yang digariskan bulan lalu oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan MOH bersama-sama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) serta Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF).

Menurut laman PSD, perkhidmatan awam Singapura menggajikan sekitar 153,000 orang di 16 kementerian dan lebih 50 badan berkanun.

Sekitar 98 peratus sudah lengkap divaksinasi, menurut PSD. Ia akan "amat menggalakkan" baki dua peratus pekerja yang meliputi sekitar 3,000 pegawai - agar mendapatkan vaksinasi dan melindungi diri mereka serta orang lain.

Tambahnya, hanya "sebilangan kecil" daripada mereka tidak layak dari segi perubatan untuk mendapatkan vaksin mRN menurut PSD, merujuk kepada vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna

Sehubungan itu, pegawai dalam golongan tersebut dinasihatkan mendapatkan vaksin bukan mRNA di bawah program vaksinasi negara, yang kini menawarkan Sinovac, tambah PSD.

GALAK PEKERJA DAPATKAN SUNTIKAN VAKSIN

Majikan lain juga berkata mereka menggalakkan pekerja untuk mendapatkan vaksinasi. Antaranya ialah UOB, yang menyatakan 99 peratus daripada 9,000 kakitangannya di Singapura sudahpun divaksin.

“Untuk baki satu peratus (pekerja), kami sedang bekerjasama dengan mereka untuk memahami keadaan mereka," kata seorang jurucakap bank itu.

“Apabila peraturan baru berkuat kuasa 2022, kami akan memerlukan mereka untuk mematuhi nasihat terkini mengenai ujian berkala dan syarat-syarat di tempat kerja," tambah jurucakap berkenaan.

Rangkaian pasar raya FairPrice - yang menggajikan sekitar 13,000 pekerja di sini - tidak menyatakan berapa ramai kakitangannya yang sudah divaksin. Namun, tekannya ia menggalak semua kakitangan untuk mendapatkan vaksinasi bagi melindungi diri mereka dengan lebih baik terhadap COVID-10.

FairPrice tidak menyatakan secara khusus tindakan yang akan diambilnya apabila vaksinasi wajib di tempat kerja berkuat kuasa tahun depan. Syarikat itu bagaimanapun menyatakan ia akan "mengamalkan langkah-langkah dan garis pandu yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa sambil memastikan kami melindungi kepentingan serta kebajikan kakitangan kami".

Gergasi e-dagang Amazon - yang mempunyai sekitar 2,000 pekerja sepenuh masa dan separuh masa di Singapura - menyatakan ia menghulurkan ganjaran tunai untuk "menyokong kakitangan barisan hadapan dan rakan sekutu, yang dibayar mengikut setiap jam, apabila mereka meninggalkan tempat kerja untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19".

Bagi kakitangan yang memilih untuk tidak divaksin, syarikat itu menyatakan ia akan "mengkaji keadaan dan pilihan di tempat kerja dengan mengambil kita garis panduan pemerintah tempatan".

BOLEHKAH MAJIKAN PECAT KAKITANGAN TIDAK DIVAKSIN?

Satu pekeliling MOM, yang dikeluarkan pada Oktober menyatakan pekerja yang tidak mahu divaksin yang kerjanya tidak boleh dilakukan di rumah mungkin diberhentikan, dengan tempoh notis, sebagai pilihan terakhir.

“Jika pemberhentian kerja adalah disebabkan oleh ketidakupayaan pekerja untuk berada di tempat kerja bagi melaksanakan kerja kontrak mereka, pemberhentian kerja seumpama itu tidak akan dianggap sebagai pemecatan yang tidak sah," menurut makluman tersebut.

Peguam Amarjit Kaur, rakan kongsi di Withers KhattarWong yang pakar dalam isu pekerjaan, berkata ini menandakan peralihan dari makluman sebelumnya yang menyatakan bahawa majikan tidak seharusnya menghukum, memberhentikan atau mengancam untuk memecat kakitangan yang enggan divaksin.

Cik Kaur menarik perhatian makluman itu seakan membenarkan syarikat untuk memecat pekerja mereka kerana tidak mendapatkan vaksinasi walaupun ia mungkin secara berkesan membawakan kesan yang serupa.

Namun, peguam Goh Seow Hui, seorang rakan kongsi di firman guaman Bird & Bird, berkata penggantungan atau pemberhentian seumpama itu munasabah untuk melindungi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja memandangkan Pemerintah sudah beralih ke pendekatan "tiada suntikan, tiada pekerjaan".

Cik Goh berkata keputusan untuk menggantung atau memecat pekerja berdasarkan keengganan mereka untuk divaksin tidak boleh disifatkan sebagai langkah "sewenang-wenangnya atau diskriminasi" memandangkan ia dibenarkan atas alasan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Beliau menarik perhatian dalam kebanyakan kes, pekerja tidak divaksin sudah diberi peluang untuk mendapatkan vaksinasi atau dibenarkan bekerja dari rumah.

Sementara itu, Cik Kaur berkata makluman tersebut membolehkan majikan memberhentikan seorang kakitangan tidak divaksin atas sebab pekerja itu tidak boleh berada di tempat kerja bagi menjalankan kerja kontrak mereka.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan