Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kakitangan akar umbi Persatuan Rakyat giat dampingi warga emas galak vaksinasi COVID-19

Sedang Singapura mempergiatkan usaha untuk memvaksin para penduduk negara ini sebelum hujung tahun ini, kakitangan akar umbi juga bekerja keras untuk meyakinkan sesetengah penduduk mengenai manfaat vaksinasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Kakitangan akar umbi Persatuan Rakyat giat dampingi warga emas galak vaksinasi COVID-19

Kakitangan Persatuan Rakyat berusaha untuk meyakinkan para penduduk mengenai manfaat vaksinasi. (Gambar: Persatuan Rakyat/Facebook)

SINGAPURA: Sedang Singapura mempergiatkan usaha untuk memvaksin para penduduk negara ini sebelum hujung tahun ini, kakitangan akar umbi juga bekerja keras untuk meyakinkan sesetengah penduduk mengenai manfaat vaksinasi khususnya bagi mereka yang mungkin masih ragu-ragu tentang program vaksinasi negara.

Menerusi catatan di laman Facebooknya pada Sabtu (3 Apr), Persatuan Rakyat (PA) mengongsi tentang pendekatan tertumpu yang dijalankan sejauh ini untuk mendampingi warga emas Melayu/Islam di estet-estet kejiranan dan menggalak mereka supaya mendaftarkan diri bagi program vaksinasi, khususnya menerusi masjid-masjid.

MEYAKINKAN PENDUDUK

Kebelakangan ini, jemaah solat Jumaat diingatkan supaya mendaftarkan diri bagi mendapatkan suntikan vaksin apabila tiba giliran mereka.

Pegawai-pegawai PA seperti Cik Irma Sakinah dan Cik Syahida adalah antara kakitangan pertama yang dikerahkan ke Masjid An-Nur untuk mendampingi masyarakat Melayu/Islam yang lanjut usia.

Pegawai-pegawai PA Cik Irma (kiri) dan Cik Syahida menjelaskan proses pendaftaran vaksinasi kepada jemaah di Masjid An-Nur. (Gambar: Persatuan Rakyat/Facebook) 

Cik Irma mengongsi bahawa beliau berasa gementar semasa baru-baru menjalankan tugas itu.

“Warga emas mungkin tidak begitu bersedia untuk bersuara kerana mereka sebenarnya berasa curiga atau takut.

“Namun selepas kami menjelaskan proses vaksinasi, mereka bersikap lebih terbuka dan berasa lebih selesa untuk mengongsi keprihatinan mereka bersama kami,” kata Cik Irma.

Mengulas tentang apa yang mendorongnya untuk menggalas tanggungjawab barunya itu, Cik Syahida berkata: “Hati saya lembut ketika bersama dengan generasi senja. Mereka benar-benar memerlukan perhatian saya.

“Dengan begitu ramai penduduk lanjut usia di kawasan ini, saya berharap agar mereka akan memilih untuk divaksin, lebih-lebih lagi semasa pandemik sekarang ini yang boleh menjejas kesihatan mereka”.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Marsiling Muhammad Azrin, juga turun padang untuk menyumbang tenaga dalam usaha mendampingi para penduduk.

“Kami memerhatikan bahawa para penduduk berasa berterima kasih kerana masjid merupakan lokasi yang mudah untuk dikunjungi.

“Mereka boleh berkongsi maklumat yang diperolehi bersama dengan rakan-rakan dan sanak saudara. Kami setakat memainkan peranan kami untuk menggalak semua penduduk supaya mendapatkan suntikan vaksin,” ujar Encik Azrin.

Dalam kalangan penduduk Marsiling yang datang ke masjid untuk membuat pendaftaran vaksinasi ialah Encik Muhammad Fauzi yang berusia 60 tahun.

“Saya sering mendirikan solat di (Masjid An-Nur) dan mendengar peringatan (untuk mendapatkan vaksin). Pada mulanya, saya berasa bimbang dan teragak-agak untuk divaksin kerana saya tidak pasti tentang prosesnya.

“Setelah mendapat pencerahan daripada pegawai-pegawai di sini tentang langkah-langkah yang boleh dijangkakan, kini menjelang Ramadan, saya tidak bimbang lagi, kata Encik Fauzi.

Usaha akar umbi itu dialu-alukan oleh Menteri Negara Kanan Zaqy Mohamad yang juga adalah Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee dalam catatan Facebooknya pada Jumaat (2 Apr).

“Terima kasih kepada rakan-rakan masyarakat, sukarelawan dan kakitangan akar umbi Marsiling dan Masjid An-Nahdhah kerana memperluaskan usaha pendampingan bagi vaksinasi!” kata Encik Zaqy.

USAHA SEGENAP MASYARAKAT

Mengulas tentang usaha seluruh negara untuk membendung penularan COVID-19, Encik Zaqy turut mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 10,000 penduduk sudah divaksin di Pusat Vaksinasi yang ditempatkan di Balai Rakyat Marsiling.

Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan, menarik perhatian tentang peranan yang boleh dimainkan anggota keluarga untuk menggalak vaksinasi, lebih-lebih lagi dalam kalangan warga emas.

Encik Zaqy juga merakamkan penghargaannya kepada salah seorang penduduk, Encik Firdaus Alan, 20 tahun, yang menasihatkan neneknya Cik Maimon, 73 tahun, supaya mendapatkan suntikan vaksin.

Menurut Encik Zaqy, langkah sedemikian memberi keyakinan kepada Cik Maimon untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Setakat sehingga Sabtu (3 Apr), sekitar 1.52 juta dos vaksin COVID-19 sudah diberikan, dedah Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthuchary di Parlimen pada Isnin (5 Apr).

Sekitar 60 peratus warga emas yang berusia 70 tahun ke atas dan hampir 70 peratus penduduk yang berusia antara 60 hingga 69 tahun sudah divaksin atau membuat pendaftaran bagi janji temu vaksinasi, menurut Dr Puthucheary. 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan