Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kajian KKH & NUS: Tidak bagus serahkan telefon bimbit, tablet kepada anak kecil

Satu kajian baru yang dijalankan oleh Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) bersama Universiti Nasional Singapura (NUS) mendapati pendedahan skrin pada usia awal kanak-kanak berkait rapat dengan masalah tidur selain gangguan emosi serta tingkah laku.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Nov 2019 08:53PM Dikemas Kini : 13 Nov 2019 02:49PM

SINGAPURA: Satu kajian baru yang dijalankan oleh Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) bersama Universiti Nasional Singapura (NUS) mendapati pendedahan skrin pada usia awal kanak-kanak berkait rapat dengan masalah tidur selain gangguan emosi serta tingkah laku.

Malah, mereka di bawah usia 18 bulan tidak sepatutnya diberikan masa skrin langsung.

Kajian tersebut melihat kepada masa skrin dalam kalangan sekitar 370 kanak-kanak Singapura berusia antara dua hingga lima tahun yang mengalami gangguan pembangunan neuro seperti autisme.

Kajian tersebut mendapati sekitar 94 peratus kanak-kanak tersebut melebihi had masa skrin yang disarankan iaitu sebanyak sejam pada setiap hari.

Kanak-kanak itu bahkan menghabiskan masa selama empat jam di hadapan skrin.

Lebih daripada itu, 50 peratus kanak-kanak terdedah kepada alat skrin apabila mereka mencecah usia 18 bulan dan memiliki sekurang-kurangnya satu alat teknologi di dalam bilik tidur- seperti televisyen atau komputer.

Hasilnya, mereka didapati mempunyai masalah tidur serta kesukaran emosi dan tingkah laku.

"Ini adalah perkara-perkara seperti hiperaktiviti, tidak boleh memberikan perhatian penuh dan perhatian yang lemah. Ia juga boleh menjadi peningkatan dalam isu sikap, radang, pertengkaran, kesukaran untuk mengawal diri sendiri. Jadi seorang kanak-kanak dengan pengaturan diri yang lemah boleh selalu bergantung kepada alat skrin untuk menenangkan diri mereka," jelas Perunding Kanan, Jabatan Perkembangan Kanak-kanak KKH, Dr Mae Wong.

Dr Wong Chui Mae, ketua penyelidik kajian. 

(Gambar Dr Wong Chui Mae, ketua penyelidik kajian.)

Dr Wong menambah dapatan tersebut meliputi semua kanak-kanak, termasuk mereka yang tidak mengalami masalah perkembangan.

Beberapa laporan antarabangsa bahkan menggelar masa terluang di skrin sebagai 'heroin digital' untuk kanak-kanak.

Selain kesan sampingan, kajian tersebut mendedahkan bahawa kanak-kanak yang menghabiskan banyak masa di depan skrin selalunya berkait rapat dengan ibu bapa yang turut meluangkan lebih banyak masa dengan alat teknologi.

Lantaran itu, pakar-pakar menasihati ibu bapa supaya tidak menggunakan telefon bimbit pada waktu makan dan tidur.

Encik Chan Fook Chin, 44 tahun, mula berasa prihatin apabila beliau menyedari dua orang anak perempuannya meluangkan masa antara empat hingga enam jam sehari di kaca televisyen dan peranti tablet elektronik. 

"Apa yang membuat saya kesal adalah dahulu, kami selalu menggunakannya sebagai satu wadah untuk mengalihkan perhatian. Jadi mereka tidak akan datang untuk mengganggu saya apabila saya perlu melakukan kerja," akur Encik Chan.

"Setelah kami melaksanakan kawalan masa skrin, ibarat meletakkan jadual, kami mengurangkannya kepada tidak melebihi 30 hingga 45 minit sehari. Jadi ia dilakukan secara berperingkat. Setiap kali selepas anda habiskan tugasan atau kerja sekolah, anda boleh menontonnya untuk 15 minit," jelas beliau.

Encik Chan berkata beliau kini cuba untuk menarik minat anak-anak perempuannya itu terhadap kegiatan lain seperti kesenian dan sukan renang.

Dr Wong berkata ibu bapa seperti Encik Chan juga boleh menonton kandungan skrin bersama anak-anak mereka untuk menggalak interaksi sosial yang lebih baik. 

Sumber : CNA/UR/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan