Images
  • women
    (Gambar hiasan: Thinkstock)

Kajian Global: S'pura setanding Itali; makin banyak jawatan CEO syarikat dipegang wanita

SINGAPURA: Dalam satu kajian sejagat terkini, Singapura berkongsi kedudukan bersama Itali dari segi negara yang mempunyai jumlah tertinggi syarikat dengan wanita sebagai ketua pegawai eksekutif atau CEO.

Di kedua-dua negara itu, 15 peratus syarikat dipimpin oleh seorang CEO wanita. Namun, sesetengah kumpulan wanita Singapura berkata bahawa negara ini seharusnya mencapai prestasi jauh lebih baik memandangkan ramai wanita yang berpendidikan serta berkemampuan tinggi di sini.

Di Thailand, 9 peratus firma dikemudikan CEO wanita manakala di Filipina pula, perangkaan tersebut membentuk 8 peratus.

Laporan 'CS Gender 3000' diterbitkan oleh gergasi khidmat kewangan Credit Suisse pada Jumaat (11 Okt) dan dijalankan oleh Institut Kajian Credit Suisse iaitu kumpulan pemikir dalaman syarikat berkenaan.

Kajian tersebut meninjau taraf kesamarataan jantina dalam syarikat dan melibatkan lebih 3,000 syarikat di 56 negara serta 30,000 jawatan eksekutif.

Singapura menduduki tangga keempat dari segi kedudukan wanita selaku ketua pegawai kewangan iaitu pada 28 peratus dan ia berada di belakang Thailand (42 peratus), Taiwan (30 peratus) serta Malaysia (29 peratus).

Kajian tersebut mendapati bahawa kepelbagaian anggota lembaga Singapura meningkat dengan ketara sejak 2015, dengan kadar wanita dalam lembaga melonjak dari 10.8 peratus kepada 18.4 peratus tahun ini.

Dari segi kepelbagaian jantina keseluruhan dalam bidang pengurusan, Singapura berada di tangga keenam pada 23 peratus. Filipina menduduki tempat teratas, diikuti oleh Thailand, Sweden, Australia dan Malaysia.

Laporan-laporan institut berkenaan sebelum ini mendapati ada hubung kait yang kuat antara kepelbagaian anggota lembaga dengan prestasi harga saham serta keuntungan walaupun mereka tidak menjelaskan sebab dan kesannya.

Institut tersebut juga mendapati pulangan aliran wang tunai daripada pelaburan adalah 2.04 peratus lebih tinggi bagi syarikat dengan kadar pengurus kanan wanita lebih tinggi. 

- TODAYonline/FZ/fz

Top