Images
  • sanitiser
    (Gambar: Gaya Chandramohan)

Kajian dapati virus bertahan di ruang tinggal pesakit COVID-19: NEA

SINGAPURA: Kajian yang dilakukan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mendapati bahawa virus korona yang menyebabkan COVID-19 boleh bertahan pada permukaan ruang tinggal pesakit, dan ini menekankan keperluan untuk ruang-ruang sedemikian dibasmi secara menyeluruh daripada kuman.

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat (22 Mei), NEA menyatakan bahawa kajian itu mengambil 400 sampel dari permukaan yang kerap disentuh di tempat penginapan bukan jagaan kesihatan yang digunakan oleh pesakit COVID-19, yang termasuk permukaan di dalam bilik, tandas dan lif.

Daripada 400 sampel, dua didapati positif dengan virus Sars-CoV-2, yang menyebabkan penyakit pernafasan itu.

Kedua-dua sampel diambil dari dinding bersebelahan katil dan susur katil di bilik salah seorang pesakit COVID-19 sebelum tempat itu dibasmi kuman. Kadar positif yang rendah ini mungkin disebabkan oleh rejim pembersihan yang dilaksanakan di Singapura sejak awal penularan, menurut NEA.

Setelah bilik itu dibasmi kuman, sampel permukaan yang sama tidak menunjukkan sebarang kesan virus.

"Oleh kerana COVID-19 boleh berjangkit menerusi sentuhan dengan permukaan yang tercemar dengan Sars-CoV-2, pembasmian kuman secara berkesan pada ruang yang terdedah kepada kes COVID-19 adalah sangat penting," tegas NEA.

VIRUS BERTAHAN LAMA PADA PERMUKAAN

Kajian itu dilakukan oleh Institut Kesihatan Sekitaran (EHI), sebuah makmal kesihatan awam yang dikendalikan oleh NEA, dan diketuai oleh saintis penyelidikannya Judith Wong.

Dr Wong berkata: "Walaupun kami tidak melihat pencemaran yang meluas, hasil kajian kami menunjukkan bahawa Sars-CoV-2 boleh bertahan di permukaan di ruang-ruang tinggal kes COVID-19."

Beliau menambah bahawa ujian makmal oleh penyelidik lain menunjukkan bahawa virus itu boleh bertahan di permukaan sekitaran selama "dua atau tiga hari".

“Pembasmian kuman di tempat kes-kes COVID-19 tinggal sangat penting, dan memastikan kebersihan persekitaran melalui pembersihan secara tetap di tempat-tempat yang sering akan digunakan akan mengurangkan risiko penularan melalui kontak dengan permukaan yang tercemar.”

BUKAN SEMUA CARA BERKESAN

Bagi mencegah penyebaran virus korona, NEA menyarankan untuk mengelap permukaan dengan pembasmi kuman yang berkesan dan menekankan bahawa cara ia digunakan adalah penting.

Penggunaan penyembur untuk menyahjangkit permukaan "secara sendirinya tidak mencukupi" dan seharusnya digunakan untuk melengkapi pembersihan menyeluruh, tambahnya.

Agensi itu menambah bahawa pihaknya "belum menerima bukti saintifik yang kukuh" untuk menyokong keberkesanan sistem penyembur automatik dan pelapisan permukaan yang melindungi orang ramai dari virus korona.

Produk yang menunjukkan ia dapat mengurangkan bakteria, adenosin trifosfat (ATP) juga tidak semestinya berkesan.

Ini kerana "bakteria dan virus berbeza dalam pembentukan biologi dan kimianya, dan virus tidak mengandungi ATP", jelas NEA.

Tambahan pula, pelaksanaan proses seperti fumigasi seluruh bilik dan pancaran cahaya ultraviolet (UV) hanya berkesan jika digunakan dalam ketetapan khusus, seperti di hospital dan makmal.

"Langkah-langkah itu hanya boleh dilaksanakan oleh karyawan terlatih, kerana prosesnya rumit dan pendedahan kepada wap kimia dan cahaya UV dapat menimbulkan bahaya."

Untuk membantu pemilik dan pengendali premis bukan jagaan kesihatan mengendalikan pembasmian kuman dengan lebih baik, NEA telah mengeluarkan satu set garis pandu sementara mengenai cara membersihkan kawasan yang terdedah kepada pesakit yang dijangkiti, serta senarai sementara barangan rumah dan bahan aktif untuk membasmi kuman pada permukaan tercemar.

NEA juga telah menerbitkan di laman webnya nasihat untuk membantu pembekal dan pengguna dalam membuat keputusan yang tepat ketika membeli produk pembersihan dan pembasmian kuman.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- TODAY/TQ/tq

Top