Images

Kajian awal abad ke-14 buktikan Orang Melayu sebuah masyarakat kosmopolitan

SINGAPURA: Beratus-ratus tahun sebelum penjajah menjejakkan kaki di bumi Melayu, orang Melayu adalah sebuah masyarakat yang membangun dan kosmopolitan.

Lebih menarik lagi, orang Melayu malah menjalin hubungan diplomatik dengan orang-orang Barat.

Demikian antara hasil kajian profesor Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam Malaysia, Dr Ahmad Murad Merican yang menyampaikan ceramah berjudul "Perspektif Pribumi dari Kepulauan Melayu".


Siri kuliah itu juga merupakan sebahagian daripada Pesta Budaya Melayu 2019 yang menampilkan program-program bertemakan naratif orang Nusantara.

MASYARAKAT PEMIKIR

Seringkali dalam sejarah Dunia Melayu, terdapat pelbagai cerita tentang bagaimana orang Barat melihat orang Timur.

Persepsi orang Barat juga kadangkala menjurus kepada sesuatu yang negatif.

Namun, kajian Dr Ahmad Murad Merican, seorang profesor Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, membuktikan sebaliknya.

Menerusi teks, manuskrip dan surat-surat Melayu lama seawal tahun 1300 lagi, contoh-contoh seperti Hikayat Amir Hamzah, Batu Bersurat Terenganu dan Hikayat Bayan Budiman, Dr Murad mendapati, jauh sebelum datangnya sistem penjajahan di sini, orang Timur termasuk masyarakat Melayu sebenarnya merupakan golongan yang amat bertamadun.


Kemajuan mereka diukur melalui jalinan hubungan diplomatik mereka dengan orang Barat.

Orang Barat atau Mat Saleh semasa tempoh tersebut ditulis dalam beberapa terma termasuk Feringgi/Peringgi, Feranggi/ Rum dan sebagainya.

"Sebenarnya masyarakat Melayu daripada abad yang ke-14, kita dapat lihat bukti-bukti dari segi pertembungan orang Melayu di Pulau Melayu dengan dunia luar dan ini penting sebab selalu menganggap bahawa orang bukan Barat misalnya dan orang Melayu tidak boleh mengeluarkan ilmu dan merupakan orang yang pasif.

"Tapi dengan hikayat-hikayat yang kita ada yang mana ia selalu menyebut istilah-istilah yang menyebut orang luar, misalnya macam Ferringhi, macam 'Orang Putih', macam Belanda, ini menunjukkan orang Melayu telah bertembung dan mengetahui dan melihat ataupun telah biasa dengan kewujudan bangsa-bangsa lain di dunia," tekan Dr Murad.

Pengetahuan dan pengalaman orang Melayu berhubung orang Barat adalah menerusi penulisan-penulisan itu yang menunjukkan bagaimana masyarakat Melayu mempunyai bentuk emansipasi dan menggambarkan mereka sebagai golongan pemikir.

"BUKAN OBJEK ORANG BARAT"

Komunikasi yang tiada sempadan itu, jelas Dr Murad, secara tidak langsung menunjukkan bagaimana orang Melayu adalah masyarakat yang kosmopolitan.

Kemampuan untuk berfikir dan mempunyai perspektif tersendiri terhadap orang Barat turut membuktikan bagaimana Orang Melayu "bukan objek kepada orang Barat" seperti yang seringkali dirakam dalam sejarah dominan.

KETERBUKAAN ORANG "BAWAH ANGIN"

Menurut Dr Murad lagi, kosmopolitanisme orang Melayu itu juga terbentuk daripada kedudukan geografinya yang strategik di Kepulauan Melayu yang dikenali sebagai "Bawah Angin".

Orang di "Bawah Angin" ini bersikap terbuka untuk menjalin hubungan dengan negeri-negeri "Atas Angin" - iaitu negeri-negeri orang Barat.

"Maka ini menunjukkan bahawa orang Melayu orang yang kosmopolitan sebab apa yang membuat orang Melayu berjumpa ialah kerana kedudukan pulau orang Melayu itu sendiri, tempat pertembungan, tempat pertemuan angin monsun yang membawa orang-orang luar datang.

"Orang Melayu tidaklah jakun macam orang Jepun. Orang Jepun menganggap orang Eropah tidak bertamadun. Orang Melayu tidak menganggap orang Atas Angin atau orang Eropah sebagai tidak bertamadun, orang Melayu juga tidak melihat perhubungan dengan orang Eropah itu sebagai bermasalah," kongsi beliau kepada BERITAmediacorp.

Bersempena dengan acara bagi memperingati 200 tahun Singapura tahun ini, Dr Murad berharap lebih banyak galian sejarah dijalankan bagi memahami sejarah masyarakat Melayu dengan lebih mendalam lagi.

Kajiannya itu turut dibukukan dalam sebuah buku yang bertajuk "Revisiting Atas Angin: A Review of the Malay Imagination of Rum, Ferringhi and the Penjajah."  

- BERITAmediacorp

Top